
LISBON, 20 Oktober – Cristiano Ronaldo digantung selama 30 hari dan didenda 255 euro atau (AS$286) kerana meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Portugal tanpa kebenaran, menurut Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) pada Isnin.
- Ronaldo tinggalkan kem Portugal tanpa kebenaran selepas kecewa tidak diturunkan, menuduh jurulatih Jorge Jesus memungkiri janji.
- Beliau memohon maaf, sedia terima hukuman, dan jawatankuasa disiplin FPF mengenakan hukuman minimum berlandaskan peraturan.
- Portugal menang keempat-empat perlawanan Liga Negara tanpa Ronaldo, layak ke suku akhir; Ronaldo kekal tersedia dan terus berlatih dengan Al Nassr.
Penyerang berusia 41 tahun itu bagaimanapun sudah menjalani 19 hari daripada tempoh penggantungan berkenaan dan akan melengkapkan hukumannya menjelang akhir Oktober.
Ronaldo meninggalkan kem Portugal pada 30 September ketika pasukan itu mengharungi saingan Liga Negara UEFA, selepas kecewa apabila tidak diturunkan dalam dua perlawanan menentang Norway pada 27 September dan Denmark pada 1 Oktober.
Beliau sebelum itu diarah menjalani aktiviti memenaskan badan sebagai pemain gantian ketika menentang Norway, namun tidak diturunkan sebelum dimaklumkan bahawa beliau tidak akan berada dalam kesebelasan utama menentang Denmark.
Beliau yang pernah menyarung jersi Manchester United dan Real Madrid itu kemudian menuduh ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus, memungkiri janji untuk memberikannya peluang beraksi.
Bagaimanapun, Ronaldo memohon maaf kepada penyokong pada awal Oktober dan menyatakan kesediaannya menerima sebarang hukuman atas tindakannya itu.
Jawatankuasa disiplin FPF berkata hukuman minimum itu dikenakan berdasarkan peraturan persatuan yang menetapkan penggantungan antara satu hingga enam bulan bagi pemain yang meninggalkan kem kebangsaan.
FPF turut mengambil kira “rasa kesal yang ditunjukkan dalam kenyataan” Ronaldo pada 6 Oktober, apabila pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu mengakui kesilapannya dan bersedia menerima hukuman.
Dalam kenyataan di media sosial sejurus meninggalkan kem, Ronaldo menegaskan beliau tidak akan bersara daripada tugas antarabangsa dan tetap bersedia beraksi untuk Portugal.
“Saya akan sentiasa bersedia, seperti yang saya lakukan selama ini, untuk berjuang dan menang bersama pasukan kebangsaan kita,” katanya.
Beliau mendakwa Jesus memungkiri janji untuk menurunkannya ketika menentang Norway, selain tidak menyentuh beberapa perkara yang dipersetujui dalam perbincangan mereka sebelum sidang media menjelang perlawanan menentang Denmark.
Antara perkara yang dibangkitkan Ronaldo ialah tindakan meminta pemain berstatus sepertinya, setanding Pele atau Diego Maradona, menjalani pemanasan badan tetapi tidak diturunkan dalam perlawanan.
Jesus beberapa hari kemudian berkata beliau akan memilih Ronaldo untuk mewakili Portugal sekiranya penyerang itu masih beraksi untuk kelab Arab Saudi, Al Nassr, dan berminat menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan.
Sepanjang ketiadaan Ronaldo, Portugal memenangi kesemua empat perlawanan Liga Negara UEFA dan mengesahkan tempat ke suku akhir dengan baki dua perlawanan.
Portugal dijadual menentang Denmark pada 14 November sebelum bertandang ke Wales pada 17 November bagi melengkapkan aksi Kumpulan A4.
Susulan pengumuman penggantungan itu, Ronaldo tidak memberikan reaksi secara langsung di Instagram, sebaliknya memuat naik gambar dirinya bersiap untuk menjalani latihan bersama Al Nassr dengan kapsyen “Terus bekerja”.
Ronaldo merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dan pemain dengan penampilan antarabangsa terbanyak dalam sejarah bola sepak. – AFP