
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan pelancaran pameran seni The Private Eye: Art, Poetry, Conversation di Kongsi Kreatif, di sini.
- Pameran mempamerkan 37 karya lukisan dan arca daripada koleksi peribadi Raja Ahmad Aminullah, dari era 1960-an hingga 2010.
- Pameran memberi peluang orang ramai menghayati kepelbagaian seni Malaysia serta membuka ruang perkongsian pandangan terhadap karya.
- Semangat pameran: koleksi dikongsi untuk umum, seni untuk semua, dan seni menjadi lebih bermakna melalui perkongsian tafsiran.
- Pameran berlangsung hingga 25 Oktober di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk membawa koleksi peribadi ke ruang awam.
Pameran itu menampilkan sebanyak 37 karya lukisan dan arca daripada koleksi peribadi budayawan, Raja Ahmad Aminullah yang merangkumi karya dari era 1960-an hingga 2010.
Tun Ramli berkata, pameran berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati kepelbagaian seni Malaysia, selain membuka ruang perkongsian pandangan terhadap karya yang dipamerkan.
“Izinkan saya merumuskan semangat The Private Eye melalui tiga ungkapan sederhana. Pertama, koleksi peribadi yang dikongsi untuk tatapan dan penghayatan umum.
“Kedua, seni adalah untuk semua dan bukan milik eksklusif sesiapa. Ketiga, seni menjadi lebih bermakna apabila kita berkongsi pandangan, pengalaman dan tafsiran. Inilah harapan kami menerusi pameran ini,” katanya.
Koleksi Raja Ahmad Aminullah menghimpunkan karya daripada pelbagai generasi seniman, sekali gus mencerminkan kepelbagaian pendekatan artistik dan ekspresi identiti budaya.
Antara seniman yang diketengahkan ialah Nik Zainal Abidin, Ahmad Khalid Yusof, Zulkifli Yusoff, Siti Zainon Ismail, Zakaria Ali dan Bayu Utomo Radjikin.
Pameran yang berlangsung sehingga 25 Oktober di Bangunan Sultan Abdul Samad itu bertujuan membawa koleksi seni peribadi ke ruang awam, sekali gus membolehkan masyarakat menikmati, memahami dan mentafsir karya berkenaan daripada pelbagai perspektif.