
NILAI, 15 Oktober -Empat sindiket penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan menerusi beberapa operasi berasingan dalam tempoh dua minggu, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM161.667 juta, termasuk rampasan di kawasan perkuburan.
- Rampasan besar pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ganja, heroin dan kokain dalam beberapa operasi di KLIA dan Perlis.
- Sindiket menyembunyikan dadah dalam kotak dagangan, kotak kargo kayu dan di lokasi tepi jeti selepas pengejaran bot.
- Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Rampasan itu melibatkan dadah jenis methamphetamine, ganja, heroin dan kokain, hasil operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang September hingga Oktober tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Amran Ahmad berkata, kes pertama membabitkan pemeriksaan ke atas 16 kotak diikrar dagangan sebagai ‘Non-Dangerous Goods’ di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 26 September lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati empat kotak mengandungi alat ganti kenderaan, manakala 12 kotak lagi mengandungi 285 bungkusan plastik berisi serbuk kristal putih yang disyaki dadah jenis methamphetamine, dengan anggaran berat 293.60 kilogram dan nilai melebihi RM14 juta,” katanya dalam sidang media di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di sini.
Sindiket menyembunyikan dadah ke dalam kotak dagangan dimasukkan bungkusan plastik untuk di hantar ke Australia.
Bagi kes kedua, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang pada 1 Oktober lalu menemukan dua guni berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 33 kilogram, bernilai RM99,000, bawah sebuah jeti haram terbiar berhampiran Jalan Dato Ali, di persisiran Sungai Perlis.
Penemuan itu susulan tindakan mengejar sebuah bot yang dinaiki suspek di perairan berhampiran Kuala Perlis sebelum bot berkenaan memasuki kawasan jeti terbabit.
Dadah dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran, sebelum disembunyikan di lokasi berkenaan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, pada 10 Oktober lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perlis menemukan 17 kotak berwarna coklat di sebuah pondok di kawasan perkuburan Siam Jejawi, Arau.
”Pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemukan 228 bungkusan pelbagai warna disyaki mengandungi methamphetamine seberat 460.31 kilogram, dengan nilai dianggarkan lebih RM23 juta,” katanya.
Sindiket dipercayai menjadikan pondok terbiar itu sebagai tempat penyimpanan sementara dadah.
Dalam kes berasingan pada 12 Oktober lalu, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam menemukan dadah disyaki heroin seberat 161 kilogram dan kokain seberat 246.65 kilogram dalam sebuah kotak kayu di bahagian kargo KLIA.
Kotak berkenaan diikrar mengandungi kompresor angin, namun pemeriksaan mendapati ia mengandungi karung guni berisi serbuk putih disyaki dadah.
Nilai keseluruhan dadah yang disita dalam kes berkenaan dianggarkan RM123 juta.
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.