
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kerajaan berpandangan undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), termasuk dalam konteks perkembangan media sosial.
- Kerajaan tidak bercadang menggubal Akta Perpaduan Negara khusus bagi menangani isu 3R.
- Penekanan diberikan kepada penguatkuasaan lebih tegas oleh kementerian dan agensi berkuasa seperti PDRM, KDN dan MCMC.
- MCMC memantau kandungan media sosial dan mengambil tindakan termasuk permohonan kepada platform untuk menurunkan kandungan melanggar undang-undang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang baharu menerusi Akta Perpaduan Negara yang khusus bagi menangani isu berkenaan.
Menurut beliau, tumpuan sebaliknya perlu diberikan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara lebih tegas dan berkesan oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa.
“Kerajaan berpandangan bahawa kerangka perundangan sedia ada adalah mencukupi dan memadai untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan yang melanggar undang-undang berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin di Dewan Rakyat.
Jelas beliau, antara perundangan yang boleh digunakan bagi menangani isu berkenaan ialah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang tersebut terletak di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam pada itu, MCMC turut melaksanakan pemantauan berkala terhadap kandungan di media sosial, dengan tindakan sewajarnya diambil bagi menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang.
Tindakan berkenaan termasuk langkah penguatkuasaan serta permohonan kepada platform media sosial terlibat untuk menurunkan kandungan berkenaan.