Banjir kilat di Istanbul ragut dua nyawa

Keadaan banjir kilat di Istanbul susulan hujan lebat melanda negara itu/ IHA

ISTANBUL, 15 Oktober – Hujan lebat melanda Istanbul dan beberapa bandar lain di Turkiye pada Rabu, mencetuskan banjir kilat yang mengorbankan dua individu selain menenggelamkan jalan raya serta merosakkan kenderaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabenor Istanbul menggantung sesi persekolahan bersemuka dan melaksanakan langkah kecemasan.
  • Cuti pentadbiran diberikan; penggunaan motosikal dan kenderaan di jalan raya diharamkan sementara.
  • Seorang remaja 14 tahun mati renjatan elektrik di Taman Cukurbostan; seorang lagi 34 tahun maut selepas tergelincir di Ayazaga.

Cuaca buruk itu mendorong Gabenor Istanbul melaksanakan langkah kecemasan, termasuk menggantung sesi persekolahan secara bersemuka di semua institusi pendidikan awam dan swasta pada Khamis.

Pihak berkuasa turut memberikan cuti pentadbiran kepada kakitangan sektor awam tertentu serta melarang penggunaan motosikal dan kenderaan di jalan raya pada Rabu sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

Penduduk dinasihatkan supaya berada di dalam rumah kecuali jika terdapat keperluan mendesak. Mereka yang tinggal di tingkat bawah pula disaran berpindah ke aras lebih tinggi dan selamat.

Pihak berkuasa turut memberi amaran supaya orang ramai mengelakkan tebing sungai, terowong dan kawasan yang mudah dilanda banjir.

Menerusi laporan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun maut akibat renjatan elektrik selepas terpijak lopak air di Taman Cukurbostan, kawasan kejiranan Balat di Istanbul.

Seorang lagi mangsa berusia 34 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tergelincir mengakibatkan kepalanya terhantuk ketika melintasi jalan yang dinaiki air di kawasan kejiranan Ayazaga, bandar itu.

Menurut media Turkiye, Pusat Penyelarasan Bencana Istanbul (AKOM), mengaitkan cuaca buruk itu dengan jisim udara sejuk yang bergerak dari Balkan serta sistem cuaca yang membawa hujan dari kawasan Mediterranean tengah.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.