Liga Juara Eropah: Aston Villa menang besar

Foto AFP

BIRMINGHAM, 15 Oktober – Aston Villa mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah saingan Eropah kelab itu selepas membelasah Fenerbahce 6-0 dalam aksi Liga Juara di Villa Park, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nicolas Jackson meledak dua gol pada separuh masa pertama, menjadi tonggak utama kemenangan skuad Unai Emery.
  • Johan Manzambi membuka jaringan awal pada penampilan sulungnya dalam Liga Juara, yang juga berlangsung pada hari lahirnya.
  • Ross Barkley menambah dua gol pada babak kedua sementara Tammy Abraham menutup kemenangan lewat penghujung perlawanan.
  • Kemenangan mengekalkan rekod 100% Villa dalam kempen Liga Juara dan membantu meningkatkan keyakinan pasukan, menurut Emery.

Penyerang Aston Villa, Nicolas Jackson menjadi tonggak utama kemenangan skuad kendalian Unai Emery itu apabila meledak dua gol pada babak pertama, selepas Johan Manzambi membuka jaringan seawal minit ke-12.

Ross Barkley kemudian menambah dua gol pada babak kedua sebelum Tammy Abraham melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi jaringan pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Villa mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Juara Eropah musim ini, selain menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terdahulu di semua pertandingan.

Emery berkata keputusan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pemain, namun mengakui pasukannya masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki.

“Secara keseluruhan, ini perlawanan yang sangat baik. Masih ada perkara yang perlu diperbaiki, tetapi keputusan ini amat memberangsangkan buat kami.

“Kami perlu terus mara ke hadapan kerana kemenangan ini membantu meningkatkan keyakinan pasukan.

“Apa yang kami lakukan hari ini memang hebat. Liga Juara bukan pertandingan yang mudah,” katanya.

Villa, yang menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL), mempamerkan aksi lebih bertenaga bagi menyahut tuntutan Emery selepas melalui permulaan musim yang tidak menentu.

Jackson, yang menyertai Villa daripada Chelsea pada Ogos lalu, kini sudah menjaringkan lima gol dalam lapan penampilan bersama kelab itu.

Mengulas sumbangan penyerang Senegal berusia 25 tahun itu, Emery berkata Jackson mempunyai keupayaan melakukan larian dari belakang pertahanan lawan, selain membantu pasukan ketika memelakukan serangan.

“Kami memerlukannya sentiasa berada di dalam kotak penalti ketika menyerang. Jackson ialah penyerang utama kami,” katanya.

Manzambi, 21, pula mencipta detik istimewa apabila menjaringkan gol pada penampilan sulungnya dalam Liga Juara Eropah, yang berlangsung pada hari lahirnya.

Villa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama selepas Jackson meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-31 dan ke-39.

Barkley kemudian menambah jaringan pada babak kedua sebelum Abraham memastikan Villa meraih kemenangan terbesar mereka dalam pertandingan peringkat Eropah.

Kemenangan itu turut menyaksikan Villa meneruskan permulaan cemerlang dalam kempen berkenaan selepas turut menewaskan Club Brugge dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.