Permohonan Datuk Seri Najib tangguh hukuman penjara, denda ditolak

Foto RTM

KUALA LUMPUR 14 Oktober – Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas beliau disabitkan dengan kesalahan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim Noor Ruwena berkata pemohon gagal memenuhi ujian keadaan luar biasa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
  • Mahkamah memandang kepentingan awam dan tahap keseriusan kesalahan sebagai pertimbangan utama.
  • Isu kesihatan tidak dianggap memenuhi ujian kerana laporan perubatan menunjukkan penjagaan baik oleh pihak berkenaan.
  • Peguam akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Rayuan; Agong beri pengampunan bersyarat, tahanan rumah tertakluk bayaran RM50 juta.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri itu gagal memenuhi ujian keadaan luar biasa yang diperlukan bagi mewajarkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman.

“Saya lebih bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya bahawa tahap keseriusan kesalahan adalah pertimbangan kepentingan awam yang lebih penting dan perlu diambil kira oleh mahkamah ini.

“Pemohon bukan lagi pesalah kali pertama apabila beliau disabitkan dengan kesalahan oleh hakim perbicaraan dalam kes 1MDB yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga berkata mahkamah tidak bersetuju bahawa isu kesihatan yang dibangkitkan memenuhi ujian keadaan luar biasa kerana laporan perubatan yang dikemukakan memberi gambaran keperluan perubatan Najib telah dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan, hospital dan pakar perubatan.

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan memfailkan permohonan baharu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Rayuan selepas memperoleh alasan penghakiman penuh.

Pada 18 September lalu, Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.