
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Perubahan demografi dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk farmaseutikal, seiring unjuran Malaysia menjadi negara menua menjelang 2036.
- Prevalens penyakit tidak berjangkit meningkat dengan ketara dalam kalangan warga emas.
- Galakan peralihan dari rawatan jangka pendek kepada ubat penyelenggaraan jangka panjang untuk kardiovaskular, metabolik dan kanser.
- Pengurusan pelbagai penyakit warga emas akan menyokong pertumbuhan berterusan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.
- Risiko kenaikan harga ubat sehingga 50 peratus jika konflik Asia Barat melebihi enam bulan, menjejaskan rantaian bekalan.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam nota penyelidikan memaklumkan, perkembangan itu didorong peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
“Peningkatan populasi warga emas menyebabkan prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) meningkat dengan ketara.
“Keadaan itu sekali gus mewujudkan permintaan berterusan dan berstruktur terhadap rawatan farmaseutikal, berbanding peningkatan permintaan yang hanya bersifat sementara,” menurut nota penyelidikan itu.
Syarikat farmaseutikal juga digalakkan beralih daripada rawatan jangka pendek kepada ubat-ubatan penyelenggaraan jangka panjang, khususnya bagi penyakit kardiovaskular, metabolik dan kanser, serta keperluan penjagaan kesihatan warga emas.
Pengurusan pelbagai penyakit yang dialami pesakit warga emas juga dijangka mendorong pertumbuhan permintaan yang berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.
“MBSB kekal optimis terhadap subsektor farmaseutikal dan menjangkakan pemain farmaseutikal tempatan, pengilang kontrak serta penyedia logistik penjagaan kesihatan menjadi antara penerima manfaat utama daripada perubahan dasar berkenaan,” tambah nota penyelidikan itu.
Sementara itu, nota penyelidikan itu juga menyatakan bahawa harga ubat-ubatan di Malaysia berisiko meningkat sehingga 50 peratus sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan melebihi enam bulan, berikutan ia memberi kesan terhadap rantaian bekalan global dan kenaikan kos bahan mentah.
“Risiko itu boleh meningkatkan tekanan terhadap industri farmaseutikal tempatan yang masih bergantung pada bekalan import, sekali gus menaikkan kos perolehan ubat-ubatan serta menjejaskan keupayaan sistem kesihatan untuk mengekalkan akses kepada rawatan pada harga berpatutan,” menurut nota penyelidikan itu.