Mesyuarat IMF tumpu isu AI, konflik AS-Iran

Foto AFP

BANGKOK, 17 Oktober – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran mengenai risiko ekonomi dunia yang terlalu bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), selain ancaman kenaikan harga barang akibat konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat IMF tunjukkan perasaan berbelah bahagi antara optimisme terhadap AI dan kebimbangan tentang inflasi, hutang dan peperangan.
  • Georgieva peringatkan bergantung kepada satu sumber pertumbuhan seperti AI ibarat berdiri atas satu kaki sahaja.
  • Konflik AS-Israel melibatkan Iran ganggu bekalan minyak dan gas, menyebabkan harga barangan melonjak menjejaskan golongan miskin.
  • IMF akan bantu susun semula hutang negara berpendapatan rendah dan mendesak kawal selia ketat terhadap teknologi AI.

Menurut Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva mesyuarat di Bangkok minggu ini diwarnai dengan perasaan berbelah bahagi antara optimisme dan kebimbangan mengenai prospek ekonomi dunia.

“Dunia kini memang optimis dengan potensi AI dan pertumbuhan ekonomi di Asia.

“Namun pada masa sama, masalah seperti inflasi, beban hutang yang tinggi, dan peperangan terus menjadi punca utama kebimbangan.

“Kalau kita cuma bergantung kepada satu sumber pertumbuhan seperti AI, ia ibarat kita berdiri dengan satu kaki sahaja,” kata Georgieva dalam satu sidang media di sini pada Sabtu.

Persidangan yang dihadiri menteri kewangan dan gabenor bank pusat seluruh dunia itu turut membincangkan kesan konflik AS-Israel menentang Iran yang bermula sejak Februari lalu.

Konflik itu telah mengganggu bekalan minyak dan gas dunia, sekali gus menyebabkan harga barangan melambung tinggi di banyak negara.

Georgieva menegaskan bahawa kenaikan harga barang paling memberi kesan buruk kepada rakyat miskin.

“Masyarakat di mana-mana sahaja, terutamanya di negara miskin, sangat benci kepada inflasi. Inflasi ini ibarat cukai tambahan ke atas orang miskin,” katanya lagi.

IMF turut memberi amaran bahawa kadar faedah yang tinggi di peringkat global telah menyebabkan negara-negara miskin terpaksa membayar kos hutang yang jauh lebih mahal.

Kini, negara-negara berpendapatan rendah perlu menggunakan sehingga 14 peratus daripada hasil pendapatan kerajaan semata-mata untuk membayar balik hutang, berbanding lapan peratus sebelum ini.

Disebabkan itu, IMF berjanji akan membantu negara-negara berkenaan menyusun semula hutang mereka dan mencari sumber kewangan baharu bagi melindungi rakyat terjejas.

Selain isu ekonomi dan perang, IMF turut mendesak agar teknologi AI termaju dikawal selia dengan lebih ketat selepas berlaku beberapa insiden keselamatan berkaitan ejen AI berautonomi baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Georgieva gembira melihat syarikat AI dan pihak kerajaan sedia bekerjasama untuk memastikan teknologi itu selamat digunakan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.