Jersi Zidane pada final Piala Dunia 2006 dilelong, dijangka cecah AS$33,700

Jersi simpanan milik Zinedine Zidane yang tidak sempat dipakai susulan Zidane dilayangkan kad merah (foto kecil) selepas menanduk pemain Itali, Marco Materazzi pada aksi final Piala Dunia 2006/Viory

PARIS, 17 Oktober- Jersi nombor 10 milik legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane yang tidak pernah disarung pada final Piala Dunia Jerman 2006 bakal dilelong secara dalam talian bermula 25 Oktober hingga 18 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aguttes anggar jersi boleh mencecah €30,000 kira-kira AS$33,700.
  • Tiga helai jersi disediakan; sehelai simpanan kekal di bilik persalinan selepas tandukan Zidane.
  • Zidane dilayangkan kad merah selepas menanduk Marco Materazzi; Itali menang menerusi penentuan penalti.
  • Harga bidaan dijangka bermula €10,000 hingga €15,000; anggaran jualan €15,000 hingga €30,000.

Pakar sukan dan kad koleksi rumah lelong Aguttes, Francois Thierry berkata harga jersi itu boleh mencecah €30,000 (kira-kira AS$33,700 atau RM137,500).

Thierry berkata tiga helai jersi disediakan untuk Zidane bagi perlawanan itu termasuk sehelai jersi simpanan berkenaan yang tidak dipakai dan kekal di bilik persalinan.

“Berlaku insiden besar ketika perlawanan itu, iaitu tandukan Zidane, dan jersi ini kekal di bilik persalinan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Final yang berlangsung pada 9 Julai 2006 itu menyaksikan Zidane dilayangkan kad merah selepas menanduk pemain Itali, Marco Materazzi pada masa tambahan sebelum Itali muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.

Jersi berkenaan dipamerkan di rumah lelong Aguttes di Neuilly-sur-Seine berhampiran Paris menjelang lelongan yang diadakan 20 tahun selepas perlawanan terakhir Zidane bersama skuad kebangsaan Perancis.

Jersi itu dimiliki secara persendirian sejak 2006 selepas seorang kanak-kanak berusia 10 tahun memenanginya menerusi pertandingan anjuran Adidas dengan menghantar video penghormatan kepada Zidane dan skuad kebangsaan Perancis.

Thierry berkata jersi berkenaan hanya dikeluarkan daripada bingkainya dua bulan lalu ketika beliau mengambilnya untuk mengesahkan ketulenan semua elemen.

“Jersi itu telah dibingkaikan untuk tempoh yang sangat lama,” katanya.

Beliau berkata nilai sejarah jersi berkenaan, populariti Zidane di peringkat antarabangsa serta kemungkinan beliau kembali menyertai skuad kebangsaan Perancis sebagai ketua jurulatih boleh mempengaruhi harga jualan akhir.

Harga bidaan dijangka bermula antara €10,000 hingga €15,000, manakala anggaran harga jualan ditetapkan antara €15,000 hingga €30,000.

Lelongan itu turut menampilkan jersi Zidane ketika separuh akhir Piala Dunia 1998 menentang Croatia, selain bola Liga Juara-Juara yang digunakan dalam perlawanan apabila Gabriel gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menyaksikan Paris Saint-Germain meraih gelaran Eropah kedua mereka. -Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.