
KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Malaysia akan terus memantau perkembangan Lembaga Keamanan atau Board of Peace (BoP) dan mengkritik sebarang tindakan yang tidak memihak kepada rakyat Palestin bagi memastikan usaha mencapai keamanan di Gaza berteraskan keadilan.
- Malaysia mencadangkan platform maklum balas khas di bawah WTO untuk percepat perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan negara terjejas gangguan laluan maritim.
- Malaysia menggesa pemulihan sistem penyelesaian pertikaian WTO termasuk pengoperasian semula Badan Rayuan dan pelaksanaan penuh TFA oleh semua anggota.
- Malaysia menegaskan kebebasan pelayaran mesti dijamin menurut UNCLOS 1982, sambil menghormati kedaulatan dan hak negara pesisir.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata meskipun Malaysia tidak akan menyertai BoP, negara akan terus meneliti perkembangan pelaksanaannya.
“Walaupun kita telah menyatakan bahawa kita tidak akan terlibat dalam Board of Peace ini, kita akan meneliti dan memerhatikan perkembangan yang sedang dijalankan.
“Sekiranya terdapat tindakan yang tidak memihak kepada rakyat Palestin, kita akan terus konsisten mengkritik tindakan Board of Peace.
“Pendirian Malaysia kekal konsisten dalam mengalu-alukan usaha menamatkan konflik, namun tindakan tersebut harus berpaksikan keadilan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia mencadangkan penubuhan platform maklum balas khas di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi mempercepat perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan negara anggota yang terjejas akibat gangguan laluan maritim antarabangsa.
Datuk Lukanisman berkata Malaysia turut menggesa pemulihan sistem penyelesaian pertikaian WTO termasuk pengoperasian semula Badan Rayuan serta pelaksanaan penuh Perjanjian Fasilitasi Perdagangan (TFA) oleh semua negara anggota.
“Malaysia terus menggesa agar sistem penyelesaian pertikaian WTO dipulihkan dan berfungsi sepenuhnya termasuk pengoperasian semula Badan Rayuan atau Appellate Body.
“Malaysia juga mendesak pelaksanaan penuh TFA oleh semua negara anggota, berpandukan pengalaman Malaysia yang telah mencapai pelaksanaan penuh perjanjian tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia menegaskan kebebasan pelayaran perlu terus dijamin selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dengan menghormati kedaulatan dan hak negara pesisir.