
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Penggubalan undang-undang baharu atau pindaan kepada perundangan berkaitan anti rent-seeking (Akta Anti-Pencarian Sewa) dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2027.
- Kerajaan komited membanteras amalan rent-seeking dan fenomena 'Ali Baba' yang menjejaskan kecekapan pasaran dan persaingan adil.
- Penyelarasan antara kementerian dan agensi serta kelulusan berperingkat diperlukan sebelum sebarang pendekatan dimuktamadkan.
- Skop kawal selia meliputi dasar, strategi dan inisiatif komprehensif bagi mengatasi ketirisan pemberian lesen, kontrak dan kemudahan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata proses penggubalan akta berkenaan memerlukan penelitian bagi memastikan langkah yang dicadangkan praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan.
Beliau menegaskan kerajaan komited membanteras amalan ‘rent-seeking’ dan fenomena ‘Ali Baba’ kerana menyifatkan ia berupaya menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan tidak adil serta membantutkan pertumbuhan produktiviti negara.
“Memandangkan isu rent-seeking merentas bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, penyelarasan serta persetujuan bersama turut diperlukan sebelum sesuatu pendekatan dimuktamadkan.
“Seterusnya, cadangan tersebut perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) dan Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Dari segi skop, cadangan kawal selia rent-seeking akan merangkumi pembangunan dasar, strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif bagi menangani amalan tersebut secara berkesan”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Syahredzan Johan (Bangi) yang meminta penjelasan mengenai status perkembangan terkini bagi penggubalan rang undang-undang berkaitan anti rent-seeking, sama ada dalam bentuk akta baharu mahupun pindaan akta sedia ada yang bertujuan untuk membanteras masalah lesen Alibaba di Malaysia serta garis masa untuk pembentangan di Parlimen.
Akmal Nasrullah turut memaklumkan usaha memperkukuh kerangka perundangan berkenaan amat penting bagi memastikan amalan berkenaan tidak terus berleluasa dan menjadi kebiasaan dalam sistem ekonomi negara.
Amalan itu sekali gus boleh memberi impak negatif terhadap kecekapan sosioekonomi, khususnya apabila berlaku ketirisan dalam pemberian lesen, kontrak dan kemudahan berkaitan.