Skuad sepak takraw negara kekal 21 pemain, diperkuat enam bakat pelapis

Skuad sepak takraw lelaki negara disambut Menteri KBS yang meraih pingat emas regu berpasukan pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September/Foto Facebook Persatuan Takraw Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Skuad sepak takraw kebangsaan mengekalkan 21 pemain dan menyerap enam bakat daripada program pelapis dalam usaha memperkukuh pasukan serta memastikan kesinambungan kejayaan di pentas antarabangsa tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Senarai pemain bakal diputuskan berdasarkan prestasi di peringkat antarabangsa dan liga domestik.
  • Persiapan intensif ke Sukan SEA 2027, negara sasar sertai semua acara termasuk regu berpasukan, regu, double dan kuadran.
  • Pemain berpotensi dikesan melalui SUKMA dan liga domestik; perlu program pembangunan berstruktur untuk menggilap bakat pelapis.
  • Latihan dan jadual dirancang bersama PSM, MSN dan ISN; pertukaran pemain mungkin dibuat untuk kekalkan daya saing.

Ketua jurulatih kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata senarai pemain akan diputuskan dalam masa terdekat berdasarkan prestasi di peringkat antarabangsa dan liga domestik.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara persiapan Malaysia menghadapi Sukan SEA 2027 dengan negara bakal menyertai kesemua acara sepak takraw yang dipertandingkan iaitu regu berpasukan, regu, double dan kuadran.

“Tidak mustahil mungkin ada pertukaran pemain dalam program kebangsaan. Kita juga akan tambah enam pemain pelapis sebab ini merupakan satu perkara yang perlu kita lihat bagi membentuk satu pasukan lebih berdaya saing bagi persiapan kita menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Ini memerlukan ramai pemain berpotensi untuk dibawa ke dalam skuad kebangsaan. Jadi saya harap semua pemain terpilih dapat bersedia mengikut jadual yang kita rancangkan bersama PSM (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga ISN (Institut Sukan Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia di McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa di sini, hari ini.

Mengenai kumpulan pemain yang tersedia, Ahmad Jais berkata pemantauan pada SUKMA baru-baru ini dan saingan liga domestik menunjukkan terdapat ramai pemain berpotensi untuk diberi peluang menyarung jersi negara.

Beliau berkata pemain berpotensi itu perlu dihimpunkan menerusi program pembangunan berstruktur bagi memastikan bakat mereka terus digilap sekali gus menjamin kesinambungan generasi pelapis dalam usaha mengekalkan momentum kecemerlangan sepak takraw negara.

Sebagai rekod, Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki dan regu lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, dengan kejayaan dalam acara regu berpasukan lelaki sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun.

Kecemerlangan itu diteruskan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini apabila skuad negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada final, selain meraih pingat perak acara regu selepas tewas 0-2 kepada lawan sama. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.