Belanjawan 2027: Mengangkat warisan sebagai ekonomi komuniti

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival budaya mesti menghubungkan penggiat warisan dengan pasaran, perancangan pasca acara dan ruang pameran bermakna untuk pulangan ekonomi berterusan.
  • Pengiktirafan kemahiran dan nilai reka bentuk penting; sokongan perlu meliputi latihan, pengiktirafan dan akses pasaran untuk kesinambungan kraf tradisional.
  • Inovasi bertanggungjawab mesti mengekalkan identiti asal produk melalui penglibatan penggiat, pereka dan institusi pendidikan sejak peringkat awal.
  • Dokumentasi visual digabungkan dengan program latihan memastikan pengetahuan teknik diwariskan dan menyokong pendidikan serta penyelidikan warisan.

Pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober 2026 memperlihatkan usaha kerajaan untuk terus memperkukuh sektor pelancongan, seni, budaya dan warisan negara.

Peruntukan sebanyak RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan serta pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) hingga 2027 membuka ruang kepada pelbagai inisiatif untuk memperkenalkan keunikan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.

Antara perkara yang wajar diberikan perhatian ialah penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA serta sokongan kepada penggiat budaya dan warisan, termasuk pengusaha kraf tangan, tenunan dan batik.

Langkah ini bukan sekadar berkaitan usaha mempromosikan kebudayaan, malah mengundang persoalan lebih besar tentang bagaimana warisan dapat terus dipelihara sambil memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat yang menghasilkan dan mewariskannya.

Warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu yang perlu dijaga, dipamerkan atau diperkenalkan kepada pelawat. Warisan turut merangkumi pengetahuan, kemahiran, nilai estetika dan kreativiti yang diwariskan melalui amalan masyarakat.

Dalam bidang kraf tradisional, nilai tersebut terserlah melalui pemilihan bahan, penguasaan teknik, pembentukan corak dan kebijaksanaan menghasilkan sesuatu produk.

Keseluruhan proses ini mencerminkan identiti budaya serta membentuk nilai yang membezakan hasil kerja tangan daripada barangan keluaran besar-besaran.

Perspektif ini penting dalam membincangkan Belanjawan 2027 kerana kejayaan memelihara warisan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah acara yang dianjurkan atau produk yang dipamerkan semata-mata.

Perhatian juga perlu diberikan kepada kelangsungan kemahiran, peluang pasaran dan kemampuan penggiat meneruskan kegiatan mereka.

Warisan yang mempunyai nilai sejarah dan estetika akan lebih bermakna jika terus diamalkan, dihargai serta memberikan sumber pendapatan yang munasabah kepada masyarakat yang memeliharanya.

Festival Budaya sebagai Pemangkin Ekonomi Warisan

Penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA berpotensi menjadi wadah untuk memperkenalkan kepelbagaian seni dan budaya Malaysia kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Penyertaan penggiat kraf tangan, tenun dan batik dapat memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali hasil kerja mereka secara lebih dekat.

Namun, keberkesanan festival tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemeriahan acara atau jumlah pengunjung semata-mata.

Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana penganjuran tersebut dapat menghubungkan penggiat warisan dengan pasaran dan memberikan pulangan yang munasabah kepada mereka.

Ruang pameran dan jualan, demonstrasi penghasilan serta penerangan tentang keistimewaan produk boleh membantu pengunjung memahami proses di sebalik hasil kerja yang dipamerkan.

Pengalaman ini membolehkan mereka menghargai bukan sahaja produk akhir, tetapi juga masa, ketelitian dan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkannya.

Penghargaan terhadap proses penghasilan penting kerana produk warisan tidak boleh dinilai berdasarkan rupa atau harga semata-mata.

Sesuatu hasil anyaman, tenunan atau batik mungkin memerlukan penguasaan teknik yang terbina melalui latihan dan pengalaman bertahun-tahun.

Penerangan yang baik dapat membantu pengguna memahami sebab sesuatu produk mempunyai nilai tersendiri, sekali gus menggalakkan penghargaan yang lebih adil terhadap tenaga dan kepakaran penggiatnya.

Festival budaya juga boleh berfungsi sebagai ruang pertemuan antara penggiat warisan dengan pereka, pengusaha pelancongan, institusi pendidikan dan bakal pembeli.

Pertemuan sedemikian berpotensi membuka peluang kerjasama yang tidak semestinya terhad kepada jualan sepanjang acara.

Hubungan dengan pembeli boleh dikembangkan kepada tempahan produk, manakala kerjasama dengan pereka dan institusi pendidikan boleh membuka ruang kepada penyelidikan, pembangunan produk serta program pembelajaran.

Bagaimanapun, peluang tersebut memerlukan perancangan yang teliti. Penggiat kraf perlu diberikan ruang untuk mempersembahkan produk secara bermakna, bukannya sekadar ditempatkan sebagai pelengkap kepada acara.

Maklumat tentang asal-usul, teknik dan keunikan hasil kerja juga wajar disediakan agar pengunjung dapat memahami nilai yang ditawarkan.

Pendekatan ini membantu membina hubungan antara pengalaman budaya dengan penghargaan terhadap hasil kerja penggiat.

Festival seharusnya menjadi pintu masuk kepada jaringan ekonomi yang lebih luas, bukan sekadar ruang promosi sementara yang berakhir sebaik sahaja acara selesai.

Susulan selepas penganjuran, termasuk usaha menghubungkan penggiat dengan saluran pemasaran dan peluang kerjasama, boleh membantu memastikan manfaatnya berterusan.

Dengan cara ini, penganjuran acara budaya berpotensi menyumbang kepada pembangunan komuniti, selain memperkenalkan identiti negara kepada pengunjung.

Nilai Seni dan Reka Bentuk dalam Produk Warisan

Kraf tradisional sering dinilai berdasarkan bentuk akhir yang dapat dilihat oleh pengguna. Dari perspektif seni dan reka bentuk, nilai sesuatu produk turut terbina melalui pemilihan bahan, penguasaan teknik, susunan bentuk, pertimbangan fungsi dan pembentukan identiti visual.

Unsur-unsur tersebut menjadikan produk warisan lebih daripada barangan kegunaan harian kerana di dalamnya terkandung pengetahuan dan kreativiti masyarakat.

Anyaman kelarai mengkuang merupakan contoh yang jelas. Kelarai terbentuk melalui susunan jalur mengkuang mengikut teknik tertentu untuk menghasilkan corak.

Dari sudut seni dan reka bentuk, pembentukannya melibatkan hubungan antara struktur anyaman, pengulangan bentuk, susunan geometri dan ketelitian kerja tangan.

Corak yang terhasil bukan sekadar hiasan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti visual yang dibentuk melalui pengetahuan dan kemahiran penganyam.

Ketepatan susunan jalur serta penguasaan teknik mempengaruhi pembentukan dan mutu corak. Pengetahuan ini berkembang melalui pemerhatian, latihan dan amalan yang berulang.

Kesilapan pada peringkat penyediaan bahan atau proses menganyam boleh menjejaskan hasil akhir.

Risiko kehilangan warisan, justeru, bukan hanya berkaitan kepupusan produk fizikal, tetapi turut melibatkan hilangnya pengetahuan tentang cara menghasilkan, memahami dan mewariskan reka bentuk tersebut.

Contoh ini menunjukkan bahawa nilai kraf tidak terletak pada hasil akhir sahaja. Di sebalik setiap corak terdapat proses membuat keputusan, penguasaan teknik dan pengalaman yang membolehkan penganyam menghasilkan bentuk tertentu.

Pengetahuan sedemikian tidak semestinya dapat dikuasai melalui pemerhatian terhadap produk siap. Sebahagiannya perlu dipelajari secara langsung melalui latihan dan bimbingan daripada individu yang mahir.

Sokongan kepada penggiat kraf perlu mengambil kira keseluruhan nilai ini. Selain bantuan untuk menghasilkan produk, pengiktirafan terhadap kemahiran, peluang memperkenalkan hasil kerja dan akses kepada pasaran turut penting bagi memastikan kegiatan tersebut berdaya maju.

Penerangan tentang teknik, bahan dan makna reka bentuk juga dapat membantu pengguna memahami keistimewaan produk dengan lebih mendalam.

Pemahaman terhadap nilai seni dan reka bentuk membolehkan produk warisan dipersembahkan berdasarkan kekuatan sebenar yang dimilikinya.

Pendekatan ini berpotensi meningkatkan penghargaan pengguna tanpa mengurangkan warisan kepada sekadar motif hiasan atau lambang budaya yang kehilangan hubungan dengan kemahiran pembuatnya.

Perkara ini wajar diberikan perhatian kerana kesinambungan warisan bergantung bukan sahaja pada kewujudan produk, tetapi juga pada penghargaan terhadap pengetahuan yang membentuknya.

Inovasi Produk Tanpa Menghilangkan Identiti Warisan

Warisan yang terus diamalkan tidak semestinya perlu kekal dalam bentuk penggunaan yang sama sepanjang masa.

Perubahan gaya hidup dan keperluan pengguna membuka peluang untuk produk tradisional disesuaikan dengan fungsi semasa. Namun, penyesuaian tersebut perlu mempertimbangkan ciri yang membentuk identiti asal produk.

Perubahan saiz, fungsi, pembungkusan atau persembahan produk boleh menjadi sebahagian daripada strategi untuk mendekati pengguna baharu.

Dalam reka bentuk warisan, inovasi yang bertanggungjawab perlu bermula dengan pemahaman terhadap ciri asal produk, termasuk bahan, teknik dan prinsip pembentukan coraknya.

Asas ini membolehkan perubahan dirancang dengan teliti supaya keperluan semasa dapat dipenuhi tanpa menghilangkan identiti yang menjadikan produk tersebut bernilai sebagai warisan.

Elemen corak daripada anyaman tradisional, misalnya, boleh diteroka untuk aplikasi pada produk kontemporari, bahan komunikasi visual atau reka bentuk pembungkusan.

Namun, penggunaannya wajar disertai pemahaman tentang sumber dan konteks corak tersebut.

Tanpa penelitian yang mencukupi, warisan berisiko digunakan sebagai hiasan semata-mata, sedangkan pengetahuan yang membentuk identitinya tidak diberikan perhatian.

Kepakaran seni dan reka bentuk dapat menyumbang kepada pembangunan produk melalui penelitian terhadap ciri visual, fungsi, bahan dan potensi penggunaannya.

Matlamatnya bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang kelihatan baharu, tetapi menterjemahkan warisan secara kreatif tanpa memutuskan hubungannya dengan pengetahuan tradisional.

Kerjasama antara penggiat kraf, pereka, institusi pendidikan dan pihak industri boleh membantu mengembangkan potensi ini.

Penggiat warisan membawa pengetahuan tentang bahan dan teknik, manakala kepakaran reka bentuk dapat menyokong pembangunan produk serta komunikasi dengan pengguna.

Kerjasama yang menghormati sumbangan setiap pihak berpotensi menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial sambil menyokong kesinambungan kemahiran tradisional.

Dalam proses ini, penggiat warisan perlu dilibatkan sejak peringkat awal pembangunan produk. Penglibatan tersebut membolehkan pengetahuan tentang bahan, teknik dan ciri asal produk dipertimbangkan sebelum sesuatu perubahan dibuat.

Ia juga penting bagi memastikan sumbangan penggiat diiktiraf dan manfaat daripada pembangunan produk tidak hanya dinikmati oleh pihak yang mengendalikan pemasaran.

Inovasi yang baik tidak semestinya memerlukan perubahan besar terhadap bentuk tradisional. Penambahbaikan fungsi, mutu kemasan atau cara produk diperkenalkan kepada pengguna juga boleh membuka peluang baharu.

Keutamaan ialah memastikan perubahan dibuat berdasarkan pemahaman terhadap warisan, bukannya semata-mata mengikuti trend pasaran.

Dengan pendekatan sedemikian, pembangunan produk dapat menyokong ekonomi komuniti sambil menghormati identiti budaya yang diwariskan.

Dokumentasi Visual untuk Mewariskan Pengetahuan

Selain penghasilan dan pemasaran produk, dokumentasi memainkan peranan penting dalam pelestarian warisan. Banyak kemahiran tradisional dipelajari melalui pemerhatian dan latihan secara langsung.

Pengetahuan yang hanya dikuasai oleh segelintir penggiat berisiko hilang sekiranya tiada usaha untuk merekodkan proses dan teknik penghasilannya.

Fotografi dan rakaman video boleh membantu mendokumentasikan perincian corak, tekstur bahan, penggunaan alat serta peringkat penghasilan.

Foto yang dirancang dengan baik dapat memperlihatkan ciri visual sesuatu produk, manakala video mampu merekodkan urutan gerakan dan teknik yang sukar diterangkan melalui gambar pegun.

Gabungan imej, rakaman proses dan maklumat kontekstual dapat membentuk rekod visual yang lebih menyeluruh daripada koleksi gambar produk semata-mata.

Dokumentasi sedemikian boleh menyokong penyelidikan, pendidikan dan usaha memperkenalkan warisan kepada generasi muda, dengan syarat maklumat yang direkodkan tepat serta pengetahuan penggiatnya didokumentasikan secara bertanggungjawab.

Dokumentasi juga perlu melangkaui rakaman rupa bentuk produk. Maklumat tentang nama corak, bahan yang digunakan, cara penyediaan, urutan teknik dan konteks penggunaannya dapat membantu menjadikan rekod lebih berguna untuk tujuan rujukan.

Pengetahuan yang diperoleh daripada penggiat perlu direkodkan dengan teliti supaya penerangan yang disampaikan tidak tersasar daripada amalan sebenar.

Walau bagaimanapun, dokumentasi tidak boleh menggantikan amalan sebenar. Gambar dan video mampu merekodkan proses, tetapi penguasaan kemahiran tetap memerlukan latihan, bimbingan dan pengalaman.

Rekod visual perlu dihubungkan dengan program pendidikan, bengkel kemahiran dan peluang untuk generasi muda belajar secara langsung daripada penggiat berpengalaman.

Pelestarian yang berkesan memerlukan dua pendekatan yang saling melengkapi, iaitu merekodkan pengetahuan supaya dapat dirujuk pada masa hadapan dan memastikan pengetahuan tersebut terus diamalkan dalam kehidupan masyarakat.

Gabungan kedua-duanya dapat membantu warisan kekal relevan tanpa memutuskan hubungannya dengan individu dan komuniti yang menjadi pemilik pengetahuan tersebut.

Menghubungkan Warisan dengan Kesejahteraan Komuniti

Langkah Belanjawan 2027 yang menyokong penggiat budaya dan warisan wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan antara pemeliharaan budaya dengan kesejahteraan masyarakat.

Namun, sokongan yang berkesan memerlukan perhatian terhadap keadaan sebenar penggiat, termasuk akses kepada pasaran, pengiktirafan terhadap kemahiran dan peluang untuk meneruskan kegiatan secara berdaya maju.

Peluang ekonomi yang terbina daripada warisan perlu memberikan manfaat kepada mereka yang menghasilkan dan memeliharanya.

Jika sesuatu produk mendapat perhatian pasaran tetapi penggiatnya tidak memperoleh pulangan yang setimpal, kesinambungan kemahiran tersebut tetap berhadapan cabaran.

Kejayaan mengangkat warisan, oleh itu, perlu turut dinilai berdasarkan kemampuan penggiat meneruskan pekerjaan, menarik minat generasi baharu dan mengekalkan mutu hasil kerja mereka.

Institusi pendidikan, agensi kerajaan, penganjur acara dan pihak industri boleh memainkan peranan yang saling melengkapi. Institusi pendidikan dapat menyumbang melalui penyelidikan, dokumentasi, latihan dan pembangunan reka bentuk.

Penganjur acara pula boleh menyediakan ruang yang bermakna untuk penggiat mempersembahkan hasil kerja serta berhubung dengan pengguna.

Pihak industri berpotensi membantu membuka laluan pemasaran yang lebih luas dengan tetap menghormati identiti dan pengetahuan tradisional.

Setiap komuniti mempunyai latar, kemahiran dan keperluan yang berbeza. Pendekatan yang sesuai untuk sesuatu kraf tidak semestinya dapat diterapkan secara seragam kepada semua bentuk warisan.

Sokongan yang berkesan perlu dibina berdasarkan keperluan penggiat dan ciri warisan yang dipelihara, bukannya sekadar mengejar jumlah produk, acara atau pengunjung.

Dalam hal ini, langkah Belanjawan 2027 yang menyentuh produk keluaran tempatan di Langkawi turut memperlihatkan kaitan antara pembangunan produk dengan peluang ekonomi setempat.

Namun, manfaat kepada produk warisan tidak berlaku secara automatik. Produk tetap memerlukan mutu yang konsisten, identiti yang jelas, persembahan yang sesuai dan akses kepada pengguna.

Sokongan dasar perlu disusuli perancangan yang mengambil kira keupayaan pengusaha serta keadaan pasaran agar peluang yang tersedia dapat dimanfaatkan secara berkesan.

Ukuran kejayaan juga tidak wajar terhad kepada jumlah jualan dalam tempoh singkat.

Kelangsungan penggiat, peluang pekerjaan, pemindahan kemahiran kepada generasi muda dan keupayaan komuniti mengekalkan kegiatan tradisional merupakan petunjuk yang penting.

Penilaian seperti ini membantu memastikan pembangunan ekonomi tidak mengorbankan tujuan asas pemeliharaan warisan.

Warisan tidak seharusnya diletakkan hanya dalam ruang pameran atau diraikan pada acara tertentu. Nilainya terletak pada pengetahuan, kemahiran dan kreativiti yang terus diamalkan oleh masyarakat.

Belanjawan boleh menyediakan ruang dan sokongan, tetapi kesinambungan warisan turut bergantung pada bagaimana peluang tersebut diterjemahkan kepada kegiatan yang bermakna untuk penggiat dan komuniti.

Kejayaan mengangkat warisan bukan hanya terletak pada sejauh mana budaya dapat diperkenalkan kepada khalayak, tetapi juga pada keupayaan masyarakat yang memeliharanya untuk terus menghasilkan, mengembangkan dan mewariskan kemahiran tersebut.

Warisan akan terus mempunyai makna apabila pengetahuan dan kemahirannya diamalkan, hasil kerjanya dihargai dan penggiatnya mempunyai peluang yang munasabah untuk meneruskan kegiatan mereka.

Di sinilah pembangunan ekonomi komuniti menjadi sebahagian daripada usaha pelestarian warisan, bukan sekadar hasil sampingan daripada kegiatan pelancongan.

Sokongan terhadap seni, budaya dan warisan perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan penggiat dihargai, kemahiran diwariskan dan produk mempunyai ruang untuk berkembang.

Dengan pendekatan yang menyeluruh, warisan bukan sahaja dapat diperkenalkan kepada khalayak, malah berpeluang terus hidup sebagai sumber pengetahuan, identiti dan ekonomi masyarakat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mariam Idris
Pensyarah Kanan (Seni Visual dan Budaya)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: mariamidris@unimap.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.