Keselamatan pekerja segulai sejalai dengan pembangunan negara

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan dan kesihatan kerja perlu diintegrasikan dalam pembangunan negara, bukan sekadar peningkatan pendapatan atau pematuhan undang-undang.
  • Melabur dalam pencegahan kemalangan mengurangkan kos ekonomi jangka panjang dan mengekalkan produktiviti serta kepakaran organisasi.
  • Perbelanjaan awam dan penilaian projek perlu mengutamakan indikator keselamatan, dengan sokongan teknikal untuk perusahaan kecil.
  • Kesihatan mental dan risiko perubahan iklim mesti dimasukkan dalam pengurusan kerja untuk menjamin keselamatan dan daya tahan tenaga kerja.

Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober 2026 memperlihatkan usaha kerajaan untuk mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.

Dengan peruntukan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion, belanjawan ini memberikan perhatian kepada pembangunan negara, peningkatan pendapatan, perlindungan sosial dan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Antara pengumuman yang mendapat perhatian ialah peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, dengan pengecualian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta.

Langkah ini memperlihatkan usaha kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja sambil mengambil kira keupayaan penyesuaian sebahagian perusahaan.

Namun, di sebalik perbincangan mengenai peningkatan gaji dan kesejahteraan ekonomi, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga wajar diberikan perhatian sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Perkara ini penting kerana pekerjaan yang baik bukan sekadar pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.

Pekerjaan yang berkualiti juga sepatutnya memberikan perlindungan daripada kemalangan, penyakit pekerjaan, tekanan psikososial dan keadaan kerja yang boleh menjejaskan kesejahteraan seseorang dalam jangka panjang.

Seorang pekerja mungkin menerima kenaikan gaji, tetapi pada masa yang sama masih terdedah kepada mesin yang tidak disenggara dengan sempurna, bahan kimia berbahaya, tekanan kerja berlebihan atau persekitaran yang tidak mempunyai kawalan risiko mencukupi.

Dalam keadaan sedemikian, peningkatan pendapatan belum tentu mencerminkan peningkatan kualiti kehidupan pekerja secara menyeluruh.

Justeru, Belanjawan 2027 perlu dilihat bukan sahaja melalui jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi juga melalui peluang untuk memperkukuh hubungan antara pembangunan ekonomi, produktiviti dan keselamatan tenaga kerja.

Keselamatan pekerjaan sebagai pelaburan ekonomi

Dalam pengurusan organisasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan sering dibincangkan melalui perspektif pematuhan undang-undang.

Majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat, menjalankan penilaian risiko, memberikan latihan dan memastikan langkah kawalan dilaksanakan.

Kesemua tanggungjawab ini penting, namun pendekatan tersebut belum sepenuhnya menggambarkan nilai ekonomi keselamatan pekerjaan.

Secara lebih jelas, kemalangan pekerjaan bukan sekadar kejadian yang menyebabkan seseorang mengalami kecederaan.

Kesannya turut menjangkaui tempat kejadian dan melibatkan keluarga pekerja, operasi organisasi, sistem kesihatan serta perlindungan sosial negara.

Apabila seorang pekerja mengalami kecederaan serius, organisasi mungkin kehilangan tenaga kerja berpengalaman, menanggung gangguan pengeluaran, memerlukan pekerja pengganti dan menghadapi peningkatan kos operasi.

Bagi pekerja pula, kecederaan boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan, keupayaan bekerja yang berkurangan serta perubahan besar terhadap kehidupan keluarga.

Kos sebenar sesuatu kemalangan juga tidak semestinya dapat diukur melalui jumlah pampasan yang dibayar semata-mata.

Terdapat kos tidak langsung yang sering terlepas daripada perhatian.

Antaranya masa dan sumber pengurusan yang diperlukan untuk menjalankan siasatan, kelewatan pelaksanaan projek, kehilangan kepakaran serta pengalaman pekerja yang terlibat dalam kemalangan, selain kesan terhadap keyakinan dan semangat kerja pekerja lain.

Dalam konteks negara, kejadian sedemikian boleh menjejaskan produktiviti dan meningkatkan keperluan terhadap rawatan, pemulihan serta bantuan sosial.

Oleh itu, pelaburan dalam usaha mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan sepatutnya difahami sebagai pelaburan yang berpotensi mengelakkan kerugian ekonomi pada masa hadapan.

Peralatan yang lebih selamat, latihan yang berkesan, penyelenggaraan berkala dan sistem pengurusan risiko yang baik bukan sekadar memenuhi kehendak perundangan. Semua ini menyumbang kepada kesinambungan operasi dan keupayaan pekerja untuk terus produktif.

Justeru, pendekatan yang melihat keselamatan pekerjaan sebagai suatu pelaburan wajar terus diperkukuh dalam perancangan dan penilaian pembangunan ekonomi negara.

Pembangunan Fizikal Perlu Seiring Perlindungan Pekerja

Belanjawan 2027 memperuntukkan RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Persekutuan. Peruntukan pembangunan mempunyai kepentingan besar dalam memperkukuh infrastruktur, kemudahan awam dan kapasiti ekonomi negara.

Namun, setiap projek pembangunan juga membawa tanggungjawab terhadap keselamatan mereka yang melaksanakannya.

Pembinaan jalan raya, bangunan, kemudahan pengangkutan dan infrastruktur industri memerlukan penglibatan pelbagai kategori pekerja.

Mereka mungkin berdepan risiko bekerja di tempat tinggi, pengendalian jentera berat, pergerakan kenderaan, pendedahan bunyi bising serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

Walaupun projek pembangunan lazimnya mempunyai keperluan keselamatan yang perlu dipatuhi, persoalan lebih besar ialah sejauh mana keberkesanan pengurusan risiko tersebut dinilai sebagai sebahagian daripada kejayaan projek.

Dalam amalan pengurusan projek, pencapaian sering dikaitkan dengan tempoh penyiapan, kos dan kualiti hasil kerja. Ketiga-tiga elemen ini sememangnya penting.

Namun, sebuah projek yang disiapkan mengikut jadual dan dalam lingkungan peruntukan yang ditetapkan tidak seharusnya dianggap berjaya sepenuhnya andai pelaksanaannya mengakibatkan kecederaan serius yang sebenarnya boleh dicegah.

Kejayaan pembangunan perlu turut mengambil kira keselamatan pekerja sepanjang proses pelaksanaan.

Atas pertimbangan ini, kerajaan boleh memperkukuh penilaian prestasi projek awam dengan memberikan perhatian lebih jelas kepada indikator keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Penilaian bukan sahaja perlu mengambil kira jumlah kemalangan yang dilaporkan, tetapi juga keberkesanan tindakan pencegahan, pelaksanaan penilaian risiko, penyelesaian ketidakpatuhan dan penglibatan pekerja dalam mengenal pasti bahaya.

Pendekatan ini boleh membantu mengalihkan perhatian daripada tindakan selepas kemalangan kepada usaha mengesan dan mengawal risiko sebelum kejadian berlaku.

Yang penting, pelaksanaan indikator sedemikian perlu mengambil kira saiz projek, tahap risiko dan keupayaan kontraktor supaya ia tidak sekadar menambahkan beban dokumentasi tanpa meningkatkan keselamatan sebenar.

Menghubungkan Perbelanjaan Awam dengan Prestasi Keselamatan

Satu pendekatan yang wajar dipertimbangkan ialah menghubungkan sebahagian keputusan perolehan dan pemberian insentif pembangunan dengan keupayaan organisasi mengurus risiko keselamatan pekerjaan.

Dalam perbincangan dasar, pendekatan ini boleh difahami sebagai safety conditionality in public spending (pensyaratan keselamatan dalam perbelanjaan awam).

Ia merujuk penggunaan kriteria keselamatan yang bersesuaian dalam menentukan kelayakan, pemantauan atau penilaian prestasi penerima perbelanjaan awam.

Pendekatan ini bukan bertujuan menggantikan keperluan perundangan dan mekanisme pematuhan keselamatan yang sedia ada, sebaliknya memperkukuh pengintegrasian prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam penilaian keberhasilan perbelanjaan awam.

Dengan demikian, aspek keselamatan dapat diberikan pertimbangan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja pada peringkat pematuhan, tetapi juga dalam penilaian keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan.

Sebagai contoh, kontraktor yang melaksanakan projek berisiko tinggi boleh dinilai berdasarkan bukti pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan, kompetensi penyelia, keberkesanan kawalan bahaya dan rekod tindakan pembetulan.

Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kadar kemalangan yang rendah.

Kadar kemalangan yang dilaporkan rendah tidak semestinya menggambarkan budaya keselamatan yang kukuh, khususnya apabila wujud kemungkinan kejadian kecil atau kejadian nyaris tidak dilaporkan.

Sebaliknya, penilaian perlu menggabungkan indikator hasil dengan indikator pencegahan.

Antaranya termasuk penyertaan pekerja dalam pelaporan bahaya, pelaksanaan latihan berasaskan risiko dan keupayaan organisasi mengambil tindakan terhadap kelemahan yang dikenal pasti.

Pendekatan sebegini juga perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan garis panduan yang jelas.

Tujuannya bukan untuk menghukum organisasi yang mempunyai sumber terhad, tetapi untuk memastikan wang awam menyokong pembangunan yang bertanggungjawab.

Bagi perusahaan kecil yang belum mempunyai kapasiti pengurusan keselamatan yang mantap, bantuan teknikal dan pembangunan kompetensi boleh diberikan sebelum keperluan yang lebih kompleks dilaksanakan.

Dengan cara ini, dasar perbelanjaan awam berpotensi menjadi salah satu instrumen yang menggalakkan peningkatan standard keselamatan dalam industri.

Perusahaan Kecil Tidak Boleh Dipinggirkan

Perbincangan mengenai keselamatan pekerjaan juga perlu memberikan perhatian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menjadi sebahagian penting daripada ekosistem ekonomi Malaysia.

Tidak semua organisasi mempunyai sumber kewangan, kepakaran teknikal dan struktur pengurusan yang sama. Syarikat besar mungkin mempunyai pegawai keselamatan, sistem pemantauan digital dan peruntukan latihan khusus.

Sebaliknya, sesetengah perusahaan kecil perlu mengurus operasi harian dengan bilangan pekerja dan sumber yang terhad.

Dalam keadaan ini, pelaksanaan keselamatan pekerjaan tidak boleh hanya bergantung kepada arahan pematuhan tanpa mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi oleh majikan kecil.

Sebagai contoh, sebuah bengkel kenderaan kecil mungkin memahami kepentingan penyimpanan bahan kimia yang selamat, tetapi menghadapi kesukaran mendapatkan khidmat nasihat teknikal atau menyediakan kemudahan yang sesuai.

Begitu juga pengusaha makanan, perkhidmatan penyelenggaraan dan perusahaan pembuatan berskala kecil yang mempunyai risiko pekerjaan berbeza.

Sekiranya negara mahu meningkatkan standard keselamatan secara menyeluruh, perusahaan kecil perlu diberikan laluan yang lebih praktikal untuk melaksanakan penambahbaikan.

Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah insentif bersasar bagi pembelian peralatan kawalan risiko, latihan pengurusan keselamatan yang mudah diakses serta perkhidmatan khidmat nasihat teknikal secara berkelompok.

Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan persatuan industri juga boleh diperluas untuk membantu perusahaan kecil mengenal pasti bahaya dan melaksanakan kawalan yang bersesuaian.

Usaha penambahbaikan tidak semestinya memerlukan sistem yang rumit atau perbelanjaan yang besar.

Bagi sesetengah organisasi, penambahbaikan susun atur tempat kerja, penyelenggaraan mesin, pengudaraan dan amalan kerja selamat sudah boleh menjadi langkah awal yang bermakna.

Dasar keselamatan yang baik seharusnya tidak hanya menetapkan standard, tetapi turut membantu organisasi mencapai standard tersebut.

Kesihatan Mental Sebahagian Daripada Produktiviti

Perbincangan mengenai keselamatan pekerjaan tidak lagi boleh tertumpu kepada kemalangan fizikal semata-mata.

Perubahan corak pekerjaan, penggunaan teknologi digital, tuntutan produktiviti dan hubungan pekerjaan yang semakin kompleks turut membawa cabaran kepada kesihatan psikososial pekerja.

Dalam sesetengah organisasi, tekanan kerja berlebihan, waktu bekerja yang panjang, kekurangan sokongan penyelia dan ketidakjelasan tanggungjawab boleh menjejaskan kesejahteraan pekerja.

Keadaan ini tidak semestinya menghasilkan kecederaan yang dapat dilihat secara langsung, tetapi boleh mempengaruhi tumpuan, keupayaan membuat keputusan dan prestasi kerja.

Seorang pekerja yang mengalami keletihan berpanjangan mungkin lebih sukar mengekalkan perhatian ketika mengendalikan mesin atau menjalankan tugas yang memerlukan ketelitian.

Begitu juga pekerja yang sentiasa berada dalam tekanan mungkin menghadapi kesukaran menyuarakan kebimbangan keselamatan kepada pihak pengurusan.

Hubungan antara kesejahteraan psikososial dan keselamatan pekerjaan menunjukkan bahawa usaha meningkatkan produktiviti perlu mengambil kira keadaan manusia yang melaksanakan pekerjaan tersebut.

Dalam konteks Belanjawan 2027, pembangunan tenaga kerja berkualiti wajar dilihat melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.

Pelaburan dalam latihan kemahiran, teknologi dan peningkatan pendapatan perlu disokong oleh amalan pengurusan kerja yang sihat.

Majikan juga perlu memahami bahawa menyediakan program kesedaran kesihatan mental semata-mata tidak mencukupi sekiranya tekanan tersebut disebabkan oleh beban kerja yang tidak munasabah atau budaya organisasi yang tidak menyokong pekerja.

Pencegahan risiko psikososial memerlukan perhatian terhadap reka bentuk pekerjaan, komunikasi pengurusan, penyeliaan, waktu kerja dan mekanisme sokongan yang boleh dipercayai.

Justeru, pembangunan modal insan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan jumlah pekerja yang mengikuti latihan atau peningkatan tahap kemahiran.

Keupayaan organisasi menyediakan persekitaran kerja yang selamat secara fizikal dan psikososial juga perlu diberikan perhatian.

Cabaran Iklim dan Risiko Pekerjaan Masa Hadapan

Satu lagi dimensi yang semakin penting ialah hubungan antara perubahan iklim dengan keselamatan pekerjaan.

Malaysia merupakan negara beriklim tropika yang mempunyai tahap suhu dan kelembapan tinggi.

Bagi pekerja yang menjalankan tugas di luar bangunan, keadaan persekitaran boleh meningkatkan risiko tekanan haba, keletihan dan dehidrasi, khususnya apabila kerja fizikal berat dilakukan dalam tempoh yang panjang.

Pekerja pembinaan, penyelenggaraan jalan, pertanian, landskap dan perkhidmatan penghantaran merupakan antara kumpulan yang perlu diberikan perhatian berdasarkan sifat pekerjaan dan tahap pendedahan masing-masing.

Selain suhu panas, kejadian hujan lebat dan banjir juga boleh mewujudkan bahaya tambahan kepada pekerja penyelenggaraan, operasi kecemasan dan pemulihan infrastruktur.

Perubahan ini menuntut penilaian semula terhadap cara organisasi merancang waktu kerja, menyediakan kemudahan rehat, mengurus bekalan air minuman dan menentukan langkah kawalan yang sesuai dengan keadaan persekitaran.

Dalam perancangan pembangunan negara, adaptasi perubahan iklim tidak seharusnya hanya tertumpu kepada perlindungan bangunan, kemudahan fizikal dan kawasan penempatan.

Perlindungan terhadap tenaga kerja yang terdedah kepada perubahan cuaca juga perlu menjadi sebahagian daripada agenda tersebut.

Kerajaan boleh mempertimbangkan pengintegrasian penilaian risiko iklim pekerjaan dalam projek pembangunan yang mempunyai tahap pendedahan tinggi.

Pendekatan ini membolehkan langkah pencegahan dirancang lebih awal dan bukannya hanya dilaksanakan selepas berlaku kejadian yang memudaratkan pekerja.

Dalam jangka panjang, keupayaan negara menyesuaikan sistem pekerjaan dengan perubahan iklim akan menjadi sebahagian daripada daya tahan ekonomi.

Daripada Pampasan Kepada Pencegahan

Perlindungan sosial merupakan komponen penting dalam memastikan pekerja dan keluarga tidak dibiarkan menghadapi kesan kemalangan atau penyakit pekerjaan secara bersendirian.

Skim pampasan, rawatan dan pemulihan memainkan peranan yang besar apabila seseorang pekerja mengalami kecederaan atau kehilangan keupayaan bekerja.

Namun, kekuatan sistem perlindungan pekerja tidak seharusnya diukur melalui keupayaan memberikan pampasan selepas kejadian semata-mata.

Persoalan yang lebih penting ialah berapa banyak kejadian yang sebenarnya dapat dielakkan melalui tindakan pencegahan yang lebih awal.

Dalam pengurusan keselamatan pekerjaan, pencegahan memerlukan organisasi mengenal pasti bahaya, menilai tahap risiko dan melaksanakan kawalan sebelum sesuatu kejadian berlaku.

Pendekatan ini berbeza daripada pengurusan yang hanya bertindak selepas menerima laporan kemalangan.

Sebagai contoh, apabila pekerja mengalami kecederaan akibat mesin yang tidak mempunyai pengadang keselamatan, tindakan memberikan rawatan dan pampasan memang diperlukan.

Namun, penambahbaikan sebenar hanya berlaku apabila punca bahaya dikenal pasti dan langkah kawalan dilaksanakan supaya kejadian yang sama tidak berulang.

Perkara ini memperlihatkan kepentingan menghubungkan perlindungan sosial dengan usaha pencegahan di tempat kerja.

Belanjawan negara boleh menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan antara agensi penguatkuasaan, institusi perlindungan sosial, penyedia latihan dan organisasi industri.

Perkongsian maklumat yang sesuai, analisis corak kemalangan dan intervensi bersasar boleh membantu mengenal pasti sektor atau aktiviti yang memerlukan perhatian lebih tinggi.

Namun, sebarang penggunaan data pekerja perlu mematuhi prinsip kerahsiaan, perlindungan maklumat peribadi dan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Matlamat akhirnya bukan sekadar meningkatkan kecekapan sistem pampasan, tetapi mengurangkan keperluan terhadap pampasan melalui pengurangan kemalangan dan penyakit pekerjaan yang boleh dicegah.

Menilai Pembangunan Melalui Kesejahteraan Pekerja

Belanjawan 2027 membawa aspirasi pembangunan yang perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar dalam kehidupan rakyat.

Peningkatan pendapatan, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan ekonomi merupakan komponen penting dalam usaha tersebut.

Walau bagaimanapun, pembangunan yang benar-benar berkualiti juga perlu mengambil kira keadaan pekerja yang menyumbang tenaga, masa dan kemahiran untuk menjayakannya.

Sehubungan itu, Malaysia wajar memperkukuh cara keberhasilan pembangunan dinilai dengan memasukkan dimensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara lebih jelas.

Selain indikator pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan produktiviti, perhatian juga boleh diberikan kepada keberkesanan pencegahan risiko, pengurangan kecederaan serius, perlindungan kesihatan pekerja dan tahap penglibatan tenaga kerja dalam pengurusan keselamatan.

Penilaian sebegini perlu dilaksanakan secara teliti supaya indikator yang digunakan benar-benar mencerminkan perubahan di tempat kerja, bukan sekadar peningkatan jumlah laporan atau aktiviti pentadbiran.

Universiti dan institusi penyelidikan juga mempunyai peranan untuk menghasilkan bukti yang boleh membantu pembuat dasar mengenal pasti pendekatan pencegahan yang berkesan.

Penyelidikan mengenai budaya keselamatan, tingkah laku pekerja, kepimpinan organisasi dan tadbir urus risiko boleh menyumbang kepada pembangunan dasar yang lebih berasaskan bukti.

Dalam hal ini, kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik perlu bergerak melangkaui penganjuran program kesedaran.

Kerjasama tersebut seharusnya menghasilkan penambahbaikan yang boleh dinilai dan diterapkan dalam amalan pengurusan sebenar.

Akhirnya, keselamatan pekerjaan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja.

Kerajaan menyediakan kerangka dasar dan penguatkuasaan, majikan mengurus risiko dalam operasi, manakala pekerja perlu diberikan pengetahuan, perlindungan dan ruang untuk mengambil bahagian dalam keputusan yang mempengaruhi keselamatan mereka.

Mengakar kesejahteraan pekerja dalam aspirasi pembangunan

Belanjawan 2027 yang mengangkat gagasan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” membuka ruang untuk kita menilai semula makna pembangunan yang sebenar.

Aspirasi untuk menggapai kemajuan ekonomi yang lebih tinggi sewajarnya terus mengakar pada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat.

Kemajuan negara tidak seharusnya hanya diterjemahkan melalui pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan atau kemegahan infrastruktur, tetapi turut diukur berdasarkan keupayaan kita memelihara keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan insan yang menjadi penggerak kepada kemajuan tersebut.

Dalam mendepani cabaran ekonomi yang semakin kompleks, keselamatan pekerja perlu diangkat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara, bukannya sekadar tanggungjawab pematuhan perundangan.

Setiap peruntukan pembangunan, pelaburan industri dan usaha meningkatkan produktiviti sewajarnya turut mengambil kira perlindungan terhadap mereka yang menyumbang tenaga dan kemahiran.

Kemakmuran yang bermakna bukan hanya tentang kekayaan yang berjaya dijana, tetapi juga tentang kehidupan yang dapat dipelihara.

Di sinilah aspirasi pembangunan yang menggapai di langit perlu menemukan asasnya dalam realiti kehidupan pekerja yang mengakar di bumi.

Justeru, keselamatan pekerja dan pembangunan negara perlu bergerak segulai sejalai, saling melengkapi dalam membina sebuah negara yang maju, berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Pembangunan yang mampan sewajarnya memastikan setiap kemajuan yang dicapai turut disertai usaha berterusan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Dalam hubungan ini, perlindungan terhadap pekerja perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang memperkukuh produktiviti, kesejahteraan sosial dan daya tahan ekonomi negara.

Akhirnya, kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar terletak pada besarnya angka yang diperuntukkan atau banyaknya projek yang berjaya dilaksanakan, tetapi pada sejauh mana manfaat pembangunan dapat dinikmati tanpa mengabaikan keselamatan mereka yang menjayakannya.

Sesungguhnya, pembangunan yang benar-benar mengangkat martabat negara bukan sahaja berupaya menggapai kemakmuran masa hadapan, tetapi juga terus mengakar pada amanah memelihara keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan insan yang menjadi tunjang kemajuan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts. Dr Khairul Hafezad Abdullah
Pengerusi Program Pascasiswazah
Pensyarah Kanan
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Universiti Utara Malaysia
E-mel: hafezad@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.