Pertumbuhan ekonomi perlu seiring perkembangan kewangan isi rumah

Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Mikhail Rosli / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 11 Oktober – Pertumbuhan ekonomi negara sewajarnya dinilai seiring dengan perkembangan kedudukan kewangan isi rumah bagi mengukur impak sebenar terhadap kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan ekonomi mesti dinilai seiring dengan kedudukan kewangan isi rumah untuk mengukur impak sebenar terhadap kesejahteraan rakyat.
  • Gunakan indikator khusus, contohnya peratus pendapatan isi rumah dibelanjakan untuk keperluan asas, bagi menilai perubahan kewangan keluarga.
  • Pemerkasaan syarikat tempatan dan strategi menyeluruh diperlukan, termasuk anjakan paradigma untuk meningkatkan daya saing industri.

Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Mikhail Rosli berpandangan, situasi kewangan isi rumah merupakan antara indikator penting bagi menilai keberkesanan limpahan ekonomi makro kepada masyarakat.

“Tumpuan sewajarnya diberikan kepada statistik secara khusus, contohnya peratusan pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk keperluan asas.

“Rujukan ini membolehkan kita menilai sama ada kedudukan kewangan mereka bertambah baik atau merosot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi wawancara menerusi program Biz Malaysia di sini.

Mengulas mengenai usaha memperkukuh ekonomi negara, beliau berkata pemerkasaan syarikat tempatan amat penting bagi meningkatkan daya saing serta mengembangkan keupayaan industri.

“Kita perlu merangka strategi untuk memperkasakan syarikat-syarikat tempatan agar mampu melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih cemerlang.

“Agenda pertumbuhan ini harus dilaksanakan secara menyeluruh pada peringkat industri, dan bukannya terhad kepada beberapa firma sahaja,” katanya lagi.

Tambah beliau, agenda pemerkasaan itu memerlukan pendekatan baharu bagi memperkukuh keupayaan ekonomi secara holistik.

“Kita memerlukan anjakan paradigma untuk mengubah minda masyarakat dan pemain industri agar lebih fokus dalam meneroka serta memajukan sesuatu industri secara berkesan,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.