PENGILANG sifatkan Belanjawan 2027 langkah strategik perkukuh PMKS Bumiputera


Presiden PENGILANG Datuk Seri Dr. Azman Yusoff (kanan)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menyifatkan inisiatif pembiayaan, sokongan eksport dan automasi menerusi Belanjawan 2027 sebagai langkah strategik untuk memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan mikro RM6.6 bilion melalui BSN, Agrobank, TEKUN dan MARA membantu usahawan mendapatkan modal perniagaan.
  • Dana pembiayaan eksport RM1 bilion melalui BPMB dan RM60 juta kepada MATRADE bantu pengilang menembusi pasaran antarabangsa termasuk sektor halal.
  • Pelaksanaan gaji minimum RM2,000 bagi syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas perlu disusuli peningkatan produktiviti untuk mengurangkan tekanan kepada vendor kecil.

Presidennya Datuk Seri Dr. Azman Yusoff berkata pembiayaan mikro berjumlah RM6.6 bilion menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat membantu usahawan mendapatkan modal perniagaan.

Beliau berkata pengukuhan jaminan kredit menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) juga berpotensi memudahkan akses pembiayaan, khususnya bagi perniagaan yang berdepan kekangan cagaran fizikal.

“Dana pembiayaan eksport RM1 bilion menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan peruntukan RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga penting untuk membantu pengilang tempatan menembusi pasaran antarabangsa, termasuk sektor halal,” katanya dalam kenyataan.

PENGILANG turut menyambut baik peningkatan peruntukan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI kepada RM750 juta bagi meluaskan pasaran produk tempatan serta membantu aliran tunai pengusaha Bumiputera.

Bagaimanapun, Azman berkata pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 bagi syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas perlu disusuli usaha meningkatkan produktiviti bagi mengimbangi kenaikan kos operasi.

Beliau berkata pelarasan gaji itu berpotensi memberi tekanan kepada vendor dan subkontraktor kecil yang beroperasi dengan margin keuntungan terhad, selain meningkatkan kos rantaian bekalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.