
KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Belanjawan 2027 menerima sambutan positif dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaya (UM) khususnya menerusi penambahbaikan bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI, fleksibiliti bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta peluasan Program Dapur Siswa MADANI.
- Fleksibiliti bayaran balik PTPTN membantu kurangkan beban kewangan graduan bergaji rendah.
- Kenaikan bantuan FlySiswa meringankan kos pengangkutan mahasiswa terutama dari Sabah dan Sarawak.
- Inisiatif memberi manfaat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi tetapi perlu pemantauan pengurusan kewangan graduan.
- Program Dapur Siswa menyediakan makanan mampu milik dan kemudahan memasak di kolej, memudahkan kehidupan pelajar.
Bagi pelajar tahun tiga jurusan Sains Geologi Gunaan, Sharzaniza Alya Mohd Adnan, fleksibiliti pembayaran balik pinjaman PTPTN dapat membantu mengurangkan beban kewangan graduan yang baru menamatkan pengajian.
“Ini inisiatif yang sangat bagus kerana graduan bergaji kurang daripada RM2,500 akan diberikan penangguhan bayaran. Bagi mereka yang bergaji antara RM2,500 hingga RM3,000 pula, bayaran minimum RM50 sangat membantu dalam mengurangkan beban kewangan graduan yang baru memulakan kerjaya,” katanya.
Sementara itu, pelajar tahun dua jurusan Sains Matematik, Danial Iskandar Wan Shamsul Kamar Iskandar berpandangan peningkatan bantuan subsidi FlySiswa MADANI daripada RM400 kepada RM500 dapat mengurangkan kos pengangkutan mahasiswa khususnya dari Sabah dan Sarawak.
Bagi pelajar tahun empat jurusan Sains Fizik UM, Devanish Palani, inisiatif berkenaan juga berpotensi memberikan manfaat kepada mahasiswa tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif itu dapat memberikan impak positif tanpa mengira sama ada seseorang pelajar tergolong dalam kumpulan B40 atau tidak. Ini bukan sekadar tentang menghapuskan hutang PTPTN, tetapi kita perlu melihat sejauh mana graduan dapat menguruskan kewangan mereka selepas perubahan dasar itu dilaksanakan,” katanya.
Pandangan sama dikongsi pelajar tahun tiga jurusan Sains Pengurusan Alam Sekitar, Wafa Nafisya Kamarul Affendi, yang menyifatkan fleksibiliti tempoh bayaran balik pinjaman sebagai langkah membantu graduan menstabilkan kedudukan kewangan selepas memasuki alam pekerjaan.
“Ini merupakan langkah yang baik daripada kerajaan memandangkan tidak semua graduan memperoleh gaji tinggi selepas tamat pengajian. Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menstabilkan pendapatan terlebih dahulu,” katanya.
Selain bantuan pendidikan dan pengangkutan, Program Dapur Siswa MADANI turut menyediakan kemudahan kepada mahasiswa untuk menikmati makanan pada harga mampu milik menerusi Menu Kasih Siswa.
Pelajar tahun dua jurusan Sastera dan Sains Sosial, Aidil Hakimi Zamr berkata inisiatif itu membolehkan mahasiswa memanfaatkan sumbangan bahan mentah dan makanan kering, selain menggunakan kemudahan serta peralatan memasak yang disediakan di kolej kediaman.
“Biasanya, kami tidak dibenarkan membawa peralatan memasak sendiri. Jadi, kemudahan yang diumumkan, termasuk peruntukan RM20 juta untuk Dapur Siswa MADANI dapat memudahkan mahasiswa memasak di kolej kediaman,” katanya.