KPT pastikan peruntukan belanjawan beri impak tinggi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan setiap peruntukan dan inisiatif menerusi Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan Belanjawan 2027 meningkat, memperkukuh prasarana, kualiti pendidikan, penyelidikan dan kebajikan mahasiswa.
  • Pembahagian antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan menyokong inisiatif strategik institusi serta pembangunan bakat masa hadapan.
  • Belanjawan dianggap seimbang, bertujuan menjadikan IPT pusat kecemerlangan dan menjamin kesejahteraan serta daya saing graduan.

Pendekatan itu penting bagi membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti, berdaya saing dan berteraskan kemanusiaan.

Kenyataan KPT menyebut, setiap inisiatif yang diumumkan bukan sekadar melibatkan pertambahan peruntukan, tetapi merupakan pelaburan strategik bagi memastikan manfaat pendidikan tinggi dapat dinikmati secara langsung oleh mahasiswa, graduan, warga akademia, institusi dan masyarakat.

“KPT menerima peruntukan sebanyak RM19.1 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM500 juta atau kira-kira 2.6 peratus berbanding RM18.6 bilion pada 2026.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.13 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM3.96 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, merangkumi pelbagai inisiatif untuk memperkukuh prasarana, meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta menjaga kebajikan mahasiswa,” kata KPT.

Menurut KPT, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.

Malah, ia memperlihatkan usaha kerajaan untuk memperkasa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai pusat kecemerlangan ilmu, pembangunan bakat dan inovasi, di samping memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta menjamin kesejahteraan mahasiswa.

KPT turut menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai pendekatan seimbang yang merangkumi pembangunan prasarana, kebajikan mahasiswa, sokongan kepada graduan, pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat masa hadapan.

Kementerian itu yakin peruntukan berkenaan mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak yang berupaya memacu kemajuan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.