
GEORGE TOWN, 10 Oktober – Pulau Pinang berpotensi memperkukuh kedudukan sebagai hab pertumbuhan ekonomi menerusi penetapannya sebagai Pusat Kewangan Teknologi Negara seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2027.
- Pelaburan baharu berpotensi mempercepat pemindahan teknologi kepada PMKS tempatan, meningkatkan kualiti pengeluaran dan produktiviti industri.
- Perkembangan sektor E&E dan semikonduktor dijangka wujudkan permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kesan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
- Khazanah dan InvestPenang akan mewujudkan Dana Pelaburan Strategik RM100 juta bagi menyokong syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju peringkat awal.
Langkah itu dijangka berupaya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti mengambil kira kedudukan strategik serta kekuatannya dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata kemasukan pelaburan baharu juga berpotensi mempercepat pemindahan teknologi kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Perkembangan tersebut sekali gus mampu meningkatkan kualiti pengeluaran serta produktiviti industri selain membuka ruang kepada permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat mewujudkan kesan ekonomi pengganda.
“Pendapatan yang diterima oleh rakyat atau pekerja dalam industri ini akan dibelanjakan, sekali gus mewujudkan kesan limpahan kepada komuniti setempat.
“Sebagai contoh, perbelanjaan itu akan memberi manfaat kepada perniagaan kecil dan sederhana, termasuk peniaga makanan. Secara tidak langsung, perkembangan ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
“Selain itu, pembangunan ini juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat, memandangkan Pulau Pinang merupakan antara hab penting dalam pembangunan Koridor Utara Malaysia.
“Pulau Pinang berpotensi menjadi hab pertumbuhan yang seiring dengan perkembangan teknologi semasa, termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam temu bual bersama RTM Pulau Pinang.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Pulau Pinang dikenal pasti sebagai Pusat Kewangan Teknologi Negara.
Menerusinya, Khazanah dan InvestPenang akan mewujudkan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.