
KUALA LUMPUR, 9 Oktober –Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah bernilai RM25.8 juta menerusi tiga operasi yang menyasarkan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa di Perak, Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur.
- Op Tebuan: tujuh suspek ditahan; rampasan 210.32 kg methamphetamine dan 95.45 kg bunga ganja.
- Op Tongkol: tiga ditahan; rampasan 111.74 kg methamphetamine, penggunaan parkir pusat beli belah untuk serahan dadah.
- Op Plekoptera: lima warga India ditahan; 38.33 kg ketamin, upah RM1,000 setiap seorang, beg diubah suai.
- Semua suspek didakwa di bawah Seksyen 39B; hukuman termasuk mati atau penjara seumur hidup dan potensi 1.93 juta pengguna terjejas.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi berkenaan ialah Op Tebuan, Op Tongkol dan Op Plekoptera yang turut mendedahkan penggunaan individu sebagai keldai dadah.
Menerusi Op Tebuan yang merekodkan nilai rampasan tertinggi RM18.16 juta, beliau memaklumkan tujuh suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang warga asing berumur antara 34 hingga 58 tahun ditahan dalam tujuh siri serbuan.
“Operasi itu membabitkan rampasan 210.32 kilogram dadah jenis methamphetamine dan 95.45 kilogram bunga ganja.
“Suspek pertama ditahan pada 1 September di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh ketika membawa 26.2 kilogram bunga ganja yang dijadualkan dihantar ke London melalui Singapura,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai itu mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di utara Semenanjung sebelum mengedarkannya di Lembah Klang dan menghantarnya ke luar negara menggunakan khidmat keldai dadah.
Polis turut menyita aset bernilai RM118,000, termasuk dua kenderaan dan lima kad bank.
Operasi berikutnya Op Tongkol, kes melibatkan tiga lelaki tempatan berumur antara 35 hingga 49 tahun ditahan di Selangor, dengan rampasan 111.74 kilogram methamphetamine dan 0.44 kilogram dadah jenis heroin.
Datuk Hussein, berkata indiket yang dipercayai aktif sejak Julai itu menggunakan kawasan parkir pusat beli-belah di Lembah Klang sebagai lokasi serahan dadah.
Sementara itu, Op Plekoptera membawa kepada penahanan lima warga India berumur antara 21 hingga 43 tahun di sekitar Lembah Klang, selain rampasan 38.33 kilogram dadah jenis ketamin.
Siasatan mendapati mereka memasuki Malaysia sebagai pelancong dan dibayar RM1,000 seorang untuk bertindak sebagai penghantar dadah yang disembunyikan di dalam beg yang telah diubah suai. Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mac.
Beliau berkata, berkata siasatan turut mendapati dadah berkenaan dibawa masuk terus dari Chennai, India ke Malaysia.
“Kes ini unik di mana kita mengesan dadah dibawa masuk terus daripada Chennai, India ke Malaysia. Mereka telah melepasi lapangan terbang di Chennai dan juga melepasi lapangan terbang Kuala Lumpur dan telah keluar, dan tangkapan cuma dibuat di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berpotensi menjejaskan 1.93 juta pengguna.