
KUALA NERUS, 5 Oktober — Para atlet berharap kebajikan dan keperluan mereka terus diberi perhatian menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini.
- Tambah elaun bantu tanggung kos harian, ulang-alik dan sokongan kepada atlet yang masih belajar.
- Penambahbaikan dan pembinaan fasiliti latihan diperlukan untuk keselesaan dan persiapan menghadapi SUKMA 2028.
- Atlet terpaksa beli peralatan dan pakaian sendiri; bantuan peralatan latihan diperlukan.
- Pasukan penyokong minta peralatan sorakan disediakan supaya kos dikurangkan dan sokongan dapat ditingkatkan.
Atlet Terengganu berharap peningkatan elaun dan penambahbaikan fasiliti latihan dapat diberi perhatian sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Atlet Wushu Terengganu, Muhammad Baihaqi Hilmi Mohd, berkata peningkatan elaun dapat membantu menampung kos harian termasuk perbelanjaan ulang-alik ke sesi latihan yang perlu ditanggung atlet.
“Kalau elaun itu boleh ditambah sedikit, berilah kepada atlet sebab kami datang latihan pagi dan petang, perlu guna minyak motosikal dan menanggung pelbagai perbelanjaan. Ada juga dalam kalangan kami yang masih belajar.
“Kalau boleh, kerajaan bantu juga dari segi tempat latihan. Kalau ada sukan yang kekurangan kemudahan, berilah bantuan atau sumbangan,” katanya ketika ditemui RTM pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Insentif Kontinjen Terengganu dan Para SUKMA Selangor 2026 pada Isnin.

Sementara itu, atlet Silat Terengganu, Nor Athirah Ayunie Nor Badrin, berkata atlet turut terpaksa membeli sendiri sebahagian peralatan yang diperlukan untuk latihan.
“Kita sebagai atlet banyak keperluan yang perlu dibeli sendiri, contohnya peralatan dan pakaian. Dari segi fasiliti sukan pula, ada yang kurang dan ada yang sudah buruk serta lusuh.
“Kalau boleh, tambah kemudahan baharu supaya lebih selesa untuk atlet,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan penyokong Kontinjen Terengganu turut berharap bantuan peralatan sorakan disediakan bagi mengurangkan kos yang ditanggung sendiri.
Muhammad Rafiq Hazwan Rosni berkata, penyediaan peralatan berkenaan dapat membantu pasukan penyokong memberikan sokongan lebih baik kepada atlet.
“Kalau nak buat peralatan sorakan untuk beri semangat kepada atlet, kami perlu gunakan duit sendiri. Kalau peralatan itu disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSSNT) lebih mudah untuk kami,” katanya.