RUU Makanan 2026 dibentang untuk bacaan kali pertama

RUU berkenaan turut dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada persidangan kali ini

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 yang bertujuan meminda Akta Makanan 1983 (Akta 281) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperluas kuasa pegawai mendapatkan sampel bahan bersentuhan makanan dan menjalankan siasatan termasuk pengiklanan serta memanggil pihak berkaitan.
  • Membenarkan akses kepada maklumat berekod, data berkomputer dan data digital untuk siasatan menyeluruh berhubung transaksi dalam talian.
  • Memperkenalkan kuasa menutup premis yang menyediakan atau menjual makanan mengandungi bahan memudaratkan dan memperluas peruntukan pelabelan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, RUU berkenaan turut dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di portal Parlimen, antara pindaan yang dicadangkan ialah Seksyen 3 Akta 281 bagi membolehkan menteri memberi kuasa kepada mana-mana pegawai awam untuk mendapatkan sampel bahan bersentuhan makanan yang boleh menjejaskan kepentingan am pengguna.

“Fasal 4 pula bertujuan meminda Seksyen 4 bagi memperluas kuasa pegawai diberi kuasa, termasuk menjalankan siasatan terhadap makanan dan bahan bersentuhan makanan.

“Fasal ini juga bertujuan menangani isu pengiklanan dan memberikan kuasa kepada pegawai diberi kuasa untuk mengarahkan kehadiran mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan suatu kes,” menurut RUU itu.

Sementara itu, Fasal 9 mencadangkan penyisipan Seksyen 8A baharu ke dalam Akta 281 bagi memberi kuasa kepada pegawai diberi kuasa mengakses maklumat berekod, data berkomputer atau data digital untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, selaras dengan perkembangan transaksi dalam talian.

Fasal 13 pula bertujuan memperkenalkan Seksyen 11A baharu bagi membolehkan penutupan premis yang digunakan untuk menyediakan atau menjual makanan yang mengandungi bahan memudaratkan kesihatan.

Pindaan turut membabitkan Seksyen 15 dan 16, masing-masing berkaitan pelabelan yang tidak mematuhi standard makanan dan pelabelan palsu, supaya turut merangkumi bahan bersentuhan makanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.