
SEPANG, 5 Oktober – Kejayaan merealisasikan penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026, dalam tempoh hanya dua bulan disifatkan pencapaian luar biasa.
- Kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi kunci kejayaan penganjuran GP Bahrain di Malaysia.
- Stefano Domenicali memuji komitmen Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa, visi dan tindakan pantas yang menyempurnakan acara Bahrain di Sepang.
- Sambutan hangat peminat serta pengalaman unik di SIC selepas hampir sedekad menandakan transformasi dan perkembangan sukan F1 di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 , Stefano Domenicali dalam kenyataan memuji kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC), merupakan faktor utama kejayaan sebenar GP Bahrain di Sepang.
“Pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia. Saya menghargai semangat dan komitmen Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa kepada perlumbaan itu dan F1.
“Visi, kesungguhan serta pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu yang disempurnakan hanya dalam tempoh singkat,” katanya.
F1 juga akui Domenicali, menerima sambutan hangat sekembalinya ke Malaysia dan SIC buat julung kalinya dalam tempoh hampir sedekad, menyaksikan sukan itu melalui perkembangan serta transformasi yang signifikan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada peminat sukan itu kerana mewujudkan suasana amat meriah sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Saya berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka kepada sukan itu sangat jelas.
“Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan unik dalam sejarah F1,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) Mohammed Ben Sulayem juga senada kejayaan penganjuran GP itu dalam tempoh singkat mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.