Penempatan doktor: JPA tunggu tempoh melapor diri tamat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum dapat menilai tahap pematuhan doktor terhadap penempatan baharu kerana tempoh melapor diri hanya berakhir pada 7 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPA menunggu sehingga tempoh melapor diri selesai sebelum menilai pematuhan dan menentukan tindakan mengikut peraturan perkhidmatan awam.
  • Tempoh melapor diri mengambil kira jarak dan lokasi, termasuk pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
  • Doktor mungkin berasal dari Terengganu atau Pulau Pinang dan memerlukan masa untuk bergerak ke kawasan pedalaman.
  • JPA belum menerima laporan rasmi mengenai isu tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS; KDN dipercayai sedang menyiasat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, doktor yang menerima penempatan berkenaan diberikan tempoh melapor diri dari 30 September hingga 7 Oktober.

Menurut beliau, adalah terlalu awal untuk menilai tahap pematuhan sebelum tempoh berkenaan berakhir.

“Kita tunggu sehingga tempoh yang ditetapkan selesai. Selepas itu, barulah kita boleh melihat tahap pematuhan terhadap penempatan berkenaan dan menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesara di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh berkenaan turut mengambil kira faktor jarak dan lokasi penempatan, termasuk doktor yang perlu bergerak dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau ke kawasan pedalaman.

“Doktor-doktor berkenaan mungkin berasal dari Terengganu atau Pulau Pinang dan memerlukan masa untuk ke Sabah dan Sarawak, selain berkemungkinan ditempatkan di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesara di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, JPA sehingga kini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu yang tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap AKPS dipercayai sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Kita tunggu hasil siasatan dan fakta yang jelas terlebih dahulu kerana saya tidak boleh menentukan mana yang benar atau salah tanpa fakta yang sahih,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.