Pengguna 601 hingga 800 kWj pada Sep terima kredit pelarasan dalam bil Okt

Logo TNB

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Pelanggan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan antara 601 hingga 800 kilowatt-jam (kWj) pada September akan menerima kredit pelarasan secara pro rata dalam bil Oktober 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menaikkan aras perlindungan domestik daripada 600kWj kepada 800kWj, berkuat kuasa September hingga 31 Disember 2026.
  • Pelanggan sehingga 800kWj menikmati pengecualian AFA, Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan 8 peratus.
  • Galakan kecekapan tenaga: pantau myTNB, kekalkan penggunaan bawah 25kWj sehari, suhu penyaman 24-26 darjah Celsius, pertimbang TOU.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan itu susulan keputusan kerajaan menaikkan aras perlindungan pelanggan domestik daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan, berkuat kuasa September hingga 31 Disember 2026.

“Pelanggan dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan layak menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan 8 peratus.

“Bagi pelanggan yang layak, pelarasan caj untuk penggunaan September akan dikira secara pro rata dan dikreditkan terus dalam bil Oktober,” menurut kenyataan tersebut.

Jumlah berkenaan akan dipaparkan dalam bil di bawah butiran “Pelarasan Bil (Sep 2026)” dan “Pelarasan Cukai Perkhidmatan (8%) (Sep 2026)”.

 

Infografik peningkatan aras perlindungan sehingga 800kWj bagi pelanggan domestik / Sumber TNB

Berdasarkan jadual kelayakan TNB, pelanggan yang menggunakan 600kWj dan ke bawah tidak menerima pelarasan tambahan dalam bil Oktober, manakala penggunaan antara 601 hingga 800kWj menerima pelarasan AFA, Caj Peruncitan dan Cukai Perkhidmatan 8 peratus.

Bagi penggunaan 801kWj dan ke atas pula, pelanggan menerima pelarasan Cukai Perkhidmatan 8 peratus.

Jadual itu terpakai bagi bil September dengan bacaan sebenar.

Infografik peningkatan aras perlindungan sehingga 800kWj bagi pelanggan domestik / Sumber TNB

Dalam pada itu, pelanggan disaran terus mengamalkan kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan, termasuk memantau penggunaan harian menerusi aplikasi myTNB.

Pada masa sama, memastikan penggunaan kekal di bawah 25kWj sehari bagi premis dengan meter pintar.

Pelanggan turut digalakkan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta mempertimbang Skim Time-of-Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak bagi menikmati kadar tarif lebih rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.