Vape bukan sekadar ketagihan, risiko jejas perkembangan otak

Gambar Hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Penggunaan vape dalam kalangan remaja bukan sahaja boleh menyebabkan ketagihan, malah berisiko menjejaskan perkembangan otak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nikotin ganggu reseptor otak remaja, menjejaskan pembelajaran, memori, tingkah laku dan mood.
  • Kesan nikotin menyebabkan perkembangan otak remaja menjadi perlahan.
  • Ketagihan serupa dadah; ketiadaan vape menyebabkan gejala penarikan, gelisah dan hilang fokus.
  • Kawalan akar umbi serta zon bebas asap rokok dan vape di rumah penting untuk elakkan ketagihan.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Siti Munira Yasin, nikotin dalam vape boleh mengganggu fungsi reseptor otak remaja yang penting dalam proses pembelajaran dan pembentukan ingatan.

“Daripada segi otak, nikotin ini menggantikan reseptor dalam otak yang memberi kesan kepada pembelajaran, memori, tingkah laku dan ‘mood’.

“Ia menyebabkan perkembangan otak pada remaja menjadi perlahan.

“Daripada segi ketagihan pula ia sama seperti dadah. Bila mereka ketagih dan tak dapat vape mereka akan rasa gelisah dan cepat marah mereka perlukan vape hanya untuk rasa ‘normal’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Tegas beliau, ketagihan vape turut menyebabkan gejala ‘withdrawal symptoms’, yang boleh menyebabkan remaja terjejas berasa resah dan hilang fokus sekiranya tidak mendapat bekalan nikotin.

Justeru, kawalan dan pemantauan dari peringkat akar umbi, termasuk mewujudkan zon bebas asap rokok dan vape di rumah, amat penting bagi mengelakkan golongan muda daripada terus terjerumus dalam ketagihan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.