
PUTRAJAYA, 29 September – Kementerian Komunikasi mengemukakan lebih 20 inisiatif kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
- Cadangan merangkumi program baharu, projek susulan dan penambahbaikan mekanisme bagi program sedia ada kementerian dan agensinya.
- Meneruskan Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) di bawah FINAS serta program SIMI di bawah MyCreative Ventures.
- Permohonan dibentuk berdasarkan maklum balas pemain industri dan cadangan berimpak tinggi MCMC; diharapkan diterima dan dilaksanakan tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata permohonan cadangan antaranya merangkumi program baharu, projek susulan serta penambahbaikan mekanisme bagi program sedia ada di bawah kementerian dan agensinya.
“Kita berharap sebahagian besar daripada inisiatif yang dikemukakan dapat diterima dan dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Antara inisiatif yang mahu diteruskan termasuk program Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta program SIMI di bawah kendalian MyCreative Ventures,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya mengemukakan permohonan cadangan itu hasil maklum balas pelbagai pihak termasuk pemain industri seni menerusi FINAS, serta cadangan berimpak tinggi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober ini di Parlimen.