Belanjawan 2027: MRMA mahu cukai pegangan dividen REIT dikembalikan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 September – Persatuan Pengurus Amanah Pelaburan Hartanah Malaysia (MRMA) berharap kerajaan mengembalikan mekanisme cukai pegangan 10 peratus ke atas agihan dividen Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri mahukan struktur percukaian lebih mesra perniagaan menjelang Belanjawan 2027 untuk mengekalkan daya saing sektor REIT.
  • Sebarang perubahan SST atau cadangan mekanisme hibrid SST dan GST tidak harus membebankan pengguna dari segi perbelanjaan dan pendapatan boleh guna.
  • Cadangan peningkatan had gearing REIT daripada 50 peratus kepada 60 peratus bagi memberi ruang perkembangan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT Managers Sdn Bhd, Chong Hong Chuon berkata, pengembalian mekanisme itu kekal antara keutamaan industri bagi meningkatkan daya saing sektor REIT di Malaysia

Menurut beliau, struktur percukaian yang lebih mesra perniagaan juga menjadi antara harapan utama industri menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

“Kami telah berusaha mendapatkan kerajaan supaya meneliti semula cadangan untuk mengembalikan cukai pegangan ini.

“Jika kadar cukai yang dikenakan lebih tinggi daripada 10 peratus, pelabur akan menerima dividen yang lebih rendah kerana perlu membayar cukai yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) AmFIRST REIT di ibu negara.

Dalam pada itu, beliau berharap sebarang perubahan terhadap struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), termasuk cadangan mekanisme hibrid SST dan GST, tidak membebankan pengguna.

“Kami berharap sebarang langkah yang diambil tidak membebankan pengguna dari segi perbelanjaan dan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau  turut mencadangkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mempertimbangkan peningkatan had gearing REIT daripada 50 peratus kepada 60 peratus.

Katanya, peningkatan had itu akan memberi lebih ruang kepada industri untuk berkembang, selain membantu meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran REIT serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.