Iraq mohon pengecualian daripada larangan AS terhadap penerbangan Iran

Foto AFP

ISTANBUL, 26 September – Iraq sedang mengadakan rundingan secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pengecualian untuk beberapa lapangan terbangnya daripada sekatan AS yang menyasarkan syarikat penerbangan Iran yang mengendalikan penerbangan ke hab serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian diminta untuk membolehkan penerbangan disambung atas dasar kemanusiaan: rawatan perubatan, pendidikan, lawatan agama dan kepentingan awam.
  • Kenyataan kerajaan menggesa semua pihak meneruskan dialog bagi menyelesaikan krisis dan konflik demi kepentingan negara dan rakyat.
  • Setiausaha Perbendaharaan AS umum hentikan operasi syarikat penerbangan Iran mulai 23 September susulan sekatan baru.
  • Konflik bermula 28 Februari, melibatkan serangan balas antara Tehran dan gabungan AS dan Israel, rundingan Jun sementara kandas berkaitan Selat Hormuz.

Menurut laporan Anadolu Ajansi pada Sabtu, menerusi kenyataan pejabat Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi di Facebook, rundingan itu bertujuan mendapatkan pengecualian “bagi membolehkan penerbangan disambung semula atas dasar kemanusiaan berkaitan rawatan perubatan, pendidikan, kunjungan keagamaan dan kepentingan orang awam.

“Ketika kerajaan Iraq berusaha meredakan ketegangan di rantau ini, ia menegaskan bahawa krisis yang berterusan hanya akan memburukkan lagi keadaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menggesa semua pihak meneruskan dialog dan rundingan bagi menyelesaikan “krisis dan konflik semasa dengan cara yang memenuhi kepentingan negara serta rakyat di rantau ini”.

Awal minggu ini, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata, operasi syarikat penerbangan Iran di seluruh dunia akan dihentikan mulai 23 September susulan sekatan baharu.

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, penerbangan Iran dilarang beroperasi di negara-negara serantau termasuk Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq.

Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran yang mengorbankan ribuan nyawa, manakala Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan lokasi AS di beberapa negara di rantau itu.

Meskipun perjanjian sementara dicapai pada Jun bagi menyelesaikan konflik itu, Washington dan Tehran kembali berbalas serangan selepas rundingan menemui jalan buntu susulan perselisihan mengenai pelayaran melalui Selat Hormuz, antara laluan strategik terpenting dunia bagi bekalan tenaga dan barangan.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.