
KUALA LUMPUR, 25 September – Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersetuju mengenai beberapa langkah penting bagi memajukan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) dalam Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF di sini.
- Pembaharuan mandat Kumpulan Tindakan Bersama Ad Hoc dan Komponen Perlindungan Awam IMT serta kelulusan rangka kerja senjata ringan dan jenis lain.
- Tiada tempoh ditetapkan bagi Perjanjian Penamatan; pemeteraian bergantung kepada pemenuhan komitmen kedua-dua pihak di bawah CAB.
- Malaysia dihargai sebagai fasilitator dipercayai sejak 2001, memainkan peranan penting memajukan proses perdamaian Bangsamoro.
Pengerusi Panel Pelaksana Damai MILF, Mohagher Iqbal, berkata antara persetujuan yang dicapai ialah pembaharuan mandat Kumpulan Tindakan Bersama Ad Hoc dan Komponen Perlindungan Awam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT), selain kelulusan rangka kerja berkaitan senjata ringan dan jenis senjata lain.
“Selepas perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju mengenai beberapa perkara, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih mesra dan harmoni. Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa isu, kedua-dua pihak secara substantif telah mencapai persetujuan dalam beberapa perkara penting.
“Keadaan itu membolehkan kedua-dua pihak melihat rundingan berkenaan sebagai satu langkah yang positif dan konstruktif ke arah masa hadapan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan pada Jumaat.
Mengenai prospek Perjanjian Penamatan, beliau memaklumkan, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pemeteraiannya kerana ia bergantung kepada kedua-dua pihak memenuhi komitmen masing-masing bawah CAB.
Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan pelaksanaan CAB, mengenal pasti komitmen yang masih belum diselesaikan serta membincangkan pembangunan Pelan Hala Tuju untuk Pelaksanaan CAB.
Sementara itu, Mohagher menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu pencapaian penting, khususnya selepas kedua-dua pihak tidak mengadakan pertemuan seumpama itu di Kuala Lumpur untuk tempoh yang agak panjang.
“Peranan Malaysia sebagai fasilitator adalah amat penting. Malaysia merupakan pengantara yang dipercayai dan sejak 2001, negara ini telah bersama-sama kedua-dua pihak dalam menangani serta mengatasi pelbagai cabaran sepanjang proses berkenaan.
“Justeru, tiada sebab untuk Malaysia tidak meneruskan peranannya sebagai negara fasilitator. Malaysia telah membuktikan keupayaannya untuk mencapai hasil serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada proses perdamaian,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Malaysia dalam proses damai Bangsamoro, termasuk bawah pentadbiran terdahulu serta kerajaan semasa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.