
LABUAN, 25 September – Borneo Arts Festival (BAF) 2026 edisi ke-13 kembali dengan menghimpunkan sebanyak 1,008 penyertaan membabitkan peserta dan pempamer dari dalam serta luar negara.
- BAF menjadi platform memperluas jaringan budaya dan industri kreatif merentasi sempadan.
- Disenarai sebagai acara utama bawah kerangka kerjasama ekonomi BIMP-EAGA, membuka ruang pertukaran budaya dan jaringan serantau.
- Memartabatkan seni serta budaya Borneo sambil menyumbang kepada perkembangan pelancongan dan ekonomi kreatif Labuan.
- Empat acara utama termasuk Pertandingan Tarian Kreatif, Rekaan Fesyen Kostum Kreatif dan Jogethon baharu; hadiah wang tunai disediakan.
Penganjuran kali ini bukan sekadar mengetengahkan bakat seni, malah menjadi platform memperluas jaringan budaya dan industri kreatif merentasi sempadan.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata BAF 2026 menghimpunkan penggiat seni dari seluruh Borneo, selain penyertaan dari Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.
Antara bidang yang diketengahkan termasuk seni persembahan, tarian, muzik, fesyen, seni visual dan kraftangan.

“BAF disenaraikan sebagai salah satu acara utama di bawah kerangka kerjasama ekonomi BIMP-EAGA sekali gus membuka ruang kepada pertukaran budaya dan jaringan industri kreatif serantau,” katanya.
Beliau berkata penganjuran festival itu menjadi wadah memartabatkan seni dan budaya Borneo, selain menyumbang kepada perkembangan pelancongan serta ekonomi kreatif Labuan.
“Pihak Perbadanan Labuan dan juga Jabatan Wilayah Persekutuan akan sentiasa menambah baik penganjuran BAF pada kali ini dan juga pada tahun hadapan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian BAF 2026 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan di sini.
Sementara itu, empat acara utama menjadi pengisian BAF tahun ini, termasuk Pertandingan Tarian Kreatif Borneo dan Tingkah Geruh yang disertai 27 kumpulan.
Turut dipertandingkan Rekaan Fesyen Kostum Kreatif Malaysia membabitkan 15 kumpulan, manakala Jogethon diperkenalkan sebagai acara baharu dengan tiga kategori iaitu kumpulan, duo dan solo.
Sebanyak RM91,400 hadiah wang tunai disediakan bagi empat acara utama sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan kreativiti peserta.