Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya langkah kanan, tewaskan Bangladesh 3-0

Foto RTM

JAKARTA, 25 September – Skuad Harimau Malaya memulakan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan langkah kanan selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Bangladesh dalam aksi pembukaan Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arif Aiman menjaringkan dua gol pada minit ke-18 dan ke-37 hasil hantaran Nooa Laine dan Stuart Wilkin.
  • Penyerang naturalisasi Bergson membuka jaringan pertamanya bersama skuad pada minit ke-52 hasil hantaran Corbin Ong.
  • Kemenangan bersih tanpa bolos menjadi suntikan tonik penting buat moral Harimau Malaya sebelum aksi menentang Indonesia.

Anak buah Tan Cheng Hoe mempamerkan corak permainan agresif seawal minit keempat menerusi percubaan Faisal Halim yang berjaya dinafikan penjaga gol lawan, Mehedi Hasan Srabon.

Asakan berterusan skuad negara akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi menyempurnakan hantaran Nooa Laine bagi membuka tirai jaringan.

Pemain lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekali lagi menceriakan kem negara apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-37 selepas memanfaatkan umpanan kemas Stuart Wilkin untuk mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk melebarkan penguasaan apabila penyerang naturalisasi, Bergson da Silva membuka gawang gol pertamanya bersama skuad kebangsaan pada minit ke-52 hasil hantaran Corbin Ong.

Ketinggalan tiga gol memaksa Bangladesh cuba bangkit merapatkan jurang menerusi percubaan berbahaya Hamza Choudhury pada minit ke-75, namun ketangkasan penjaga gol negara, Haziq Nadzli berjaya menyelamatkan gawang.

Pemain gantian negara, Fergus Tierney turut hampir mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-82, namun rembatannya sekadar menggegar palang gol sebelum wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan bersih tanpa bolos ini menjadi suntikan tonik penting buat moral skuad negara sebelum turun berdepan ujian sebenar menentang musuh tradisi, Indonesia, pada Isnin ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.