FBM KLCI uji paras sokongan 1,660 mata buat kali ketiga

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 September – Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bakal menguji semula paras sokongan 1,660 mata buat kali ketiga, selepas bergerak dalam julat terhad antara 1,660 hingga 1,760 mata sejak tercetusnya konflik Asia Barat pada akhir Februari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan mungkin jika petunjuk teknikal positif, harga Brent turun kepada AS$80 hingga AS$85 setong, dan ekonomi Malaysia tahan pada suku ketiga 2026.
  • Ketahanan ringgit berpotensi menarik aliran masuk asing walaupun Indeks Dolar AS meningkat bulan ini.
  • Kejatuhan di bawah paras sokongan boleh mengheret indeks ke sekitar 1,640 mata atau paras psikologi 1,600 mata.
  • Kenaikan harga Brent kepada paras tertinggi baharu boleh menambah tekanan inflasi, mendorong Fed ketatkan dasar dan mengakibatkan aliran keluar modal.

MBSB Research menerusi nota penyelidikan memaklumkan, FBM KLCI berpotensi pulih daripada paras sokongan 1,660 mata dan kembali menuju paras rintangan 1,760 mata sekiranya beberapa faktor utama menyokong sentimen pasaran.

“Antara faktor berkenaan ialah petunjuk teknikal yang lebih positif, penurunan harga minyak mentah Brent kepada sekitar AS$80 hingga AS$85 setong, serta ketahanan ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2026.

”Ketahanan relatif ringgit turut berpotensi menarik semula aliran masuk asing ke dalam aset berisiko Malaysia.

”Walaupun Indeks Dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat 1.83 peratus setakat bulan ini, dolar AS hanya mengukuh 1.55 peratus berbanding ringgit, mencerminkan ketahanan relatif mata wang tempatan yang disokong asas ekonomi domestik,” menurut nota penyelidikan itu hari ini.

Nota penyelidikan itu turut memaklumkan, kejatuhan bawah paras sokongan 1,660 mata berkemungkinan mengheret indeks ke paras 1,640 mata atau paras psikologi 1,600 mata.

Risiko penurunan termasuk kenaikan harga minyak mentah Brent ke paras tertinggi baharu, boleh meningkatkan tekanan inflasi dan mencetuskan sentimen penghindaran risiko di pasaran global.

Sekiranya tekanan inflasi terus meningkat dan mendorong Rizab Persekutuan AS (Fed) mengambil pendirian yang lebih ketat, ia berpotensi menyebabkan aliran keluar modal daripada pasaran ekuiti negara sedang pesat membangun dan mengheret indeks turun.

”Namun, kelemahan pasaran baru-baru ini, susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga tenaga dan dasar monetari global, membuka ruang untuk aktiviti dagangan saham dalam tempoh terdekat.

”Memandangkan FBM KLCI sedang menguji paras sokongan teknikal utama, terdapat kemungkinan tinggi untuk kenaikan pasaran dalam tempoh terdekat untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” tambha nota penyelidikan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.