
ULASAN BERITA
- Bersuara mesti disertai tanggungjawab; kritik membina, bukan provokasi atau penghinaan yang menggugat keharmonian.
- Hargai simbol dan nilai negara; sentuhan terhadap identiti menimbulkan reaksi melibatkan perpaduan dan rasa hormat.
- Sasar kebebasan untuk perbaiki dasar dan cegah salah guna kuasa, bukan untuk mencetus kebencian; masyarakat perlu matang.
Kebebasan bersuara dan berkarya adalah satu hak dalam sebuah negara yang demokrasi. Ia merupakan ruang untuk rakyat bertanya, mengkritik dan berkongsi pandangan, termasuk perkara yang sensitif.
Namun, persoalan lebih besar; sejauh mana kebebasan bersuara dan kebebasan berkarya boleh digunakan tanpa menghakis nilai yang menjadi asas kehidupan bersama?
Baru-baru ini, timbul satu lagi kontroversi yang menyentuh sensitiviti asas negara. Ini bukan soal mahu menyekat seni. Bukan juga soal mahu menjadikan Rukun Negara sebagai sesuatu yang tidak boleh disentuh langsung.
Tetapi kalau semua perkara boleh diselindungkan atas nama ‘seni’, maka apa yang tinggal daripada perkataan ‘tanggungjawab’?
Hakikatnya, masyarakat demokrasi memang memerlukan ruang untuk bersuara. Kita perlukan rakyat, penulis dan seniman yang berani. Karya yang berani mempersoal dan mengkritik.
Sungguhpun begitu, berani tidak semestinya biadab. Sinis tidak semestinya menghina. Itulah beza antara karya yang mencabar pemikiran dengan karya yang sekadar mahu mencetuskan kontroversi.
Kalau tujuan seni untuk membuat kita berfikir, maka tinggalkan penonton atau pembaca dengan persoalan. Bukan dengan kebencian.
Kalau tujuan sindiran ialah membetulkan sesuatu yang salah, biarlah kiasan itu membuka mata. Bukan membakar emosi.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sendiri menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh, mencetuskan provokasi atau menggugat keharmonian masyarakat.
Mesejnya jelas. Kita tidak diminta untuk berhenti bersuara. Kita diminta belajar bertanggungjawab ketika bersuara.
Dan, kalau benar kita mahu menggunakan kebebasan bersuara, gunakanlah untuk bercakap tentang kelemahan, ketidakadilan, rasuah, salah guna kuasa atau apa sahaja yang perlu diperbaiki.
Kritiklah dasar. Tegurlah pemimpin dan masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama, fahamilah mengapa ada simbol dan nilai tertentu yang mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan sebuah negara.
Sebab apabila ia disentuh, reaksi masyarakat tidak boleh dilihat hanya sebagai reaksi terhadap sebuah luahan atau karya seni.
Ada dimensi yang lebih luas menjangkaui soal identiti, perpaduan dan rasa hormat terhadap negara.
Pada masa yang sama, kita juga harus berhati-hati. Jangan sampai menggunakan alasan menjaga perpaduan untuk menutup semua ruang kritikan kerana perpaduan bukan bermaksud semua orang mesti diam.
Perpaduan bermaksud kita boleh berbeza tanpa bermusuh. Kita boleh tidak bersetuju tanpa menghina. Kita boleh mengkritik tanpa membenci dan kita boleh berkarya tanpa hilang rasa hormat.
Realitinya, berapa ramai pula yang benar-benar memahami ideologi kebangsaan yang sedang dipertahankan?
Ironinya, kita mungkin berhujah tentang Rukun Negara tanpa menghayati prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya.
Kita bercakap tentang kesopanan dan kesusilaan, tetapi bahasa kita di media sosial penuh dengan caci maki.
Kita berbahas tentang keluhuran undang-undang, tetapi kita mahu menghukum seseorang sebelum proses undang-undang selesai.
Kita berbicara tentang perpaduan, tetapi kontroversi kecil pun mampu membuatkan kita berpecah.
Jadi, janganlah memilih antara kebebasan dan perpaduan. Kita perlukan kedua-duanya. Kebebasan tanpa tanggungjawab boleh melukakan.
Perpaduan tanpa kebebasan pula boleh membisukan dan, garis halus yang menyatukan kedua-duanya adalah kematangan, kerana kalau setiap kontroversi kita jawab dengan larangan, masyarakat tidak belajar berfikir.
Tetapi kalau setiap perkara kita benarkan atas nama kebebasan, masyarakat juga tidak belajar bertanggungjawab.
Maka kontroversi ini sepatutnya menjadi peluang untuk kita bertanya sesuatu yang lebih besar.
Apakah jenis masyarakat yang kita mahu bina? Masyarakat yang takut bersuara? Atau masyarakat yang bebas menghina atas nama kebebasan? Tentu kedua-duanya tidak.
Yang kita mahu ialah masyarakat yang cukup bebas untuk bersuara dan cukup matang untuk tahu bila suara itu perlu disertai tanggungjawab; dan, kebebasan yang matang juga memerlukan kebijaksanaan untuk mengetahui batas.
Akhirnya, kita perlu ingat satu perkara. Kita tidak boleh menolak hakikat bahawa kita hidup dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbeza kaum, agama, budaya dan ideologi politik.
Kita mungkin tidak mampu mengawal apa yang orang lain fikirkan. Tetapi kita masih mampu memilih bagaimana kita bersuara dan di situlah letaknya kematangan sebuah bangsa.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Emmi Noraliza Adnan.