
RIYADH, 24 September – Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran kemungkinan bahaya di Mekah menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan, hari ini.
- Amaran sama dikeluarkan untuk Yanbu, Taif, Jeddah dan Tabuk tetapi ditarik balik beberapa minit kemudian.
- Pihak berkuasa berkata amaran bertujuan mengingatkan penduduk tanpa memperincikan bentuk ancaman.
- Amaran seumpama pernah digunakan ketika ancaman peluru berpandu dan dron berkaitan ketegangan dengan Houthi di Yaman.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Yanbu, Taif, Jeddah dan Tabuk sebelum ditarik balik beberapa minit kemudian.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, amaran itu bertujuan mengingatkan penduduk mengenai kemungkinan bahaya, namun tidak memperincikan bentuk ancaman ketika ia dikeluarkan.
Amaran seumpama itu pernah digunakan ketika Arab Saudi berdepan ancaman peluru berpandu dan dron susulan peningkatan ketegangan dengan kumpulan bersenjata Houthi di Yaman.
Dalam perkembangan berkaitan, pakatan diketuai Arab Saudi hari ini memaklumkan, sebanyak enam peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi Yaman berjaya dipintas.
Serangan itu didakwa menyasarkan Taif dan Yanbu.
Jurucakap pakatan, Turki al-Maliki berkata, peningkatan serangan dan pelanggaran oleh Houthi akan ditangani dengan tegas.
Ketegangan antara Arab Saudi dan Houthi meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan beberapa bandar di negara itu berdepan ancaman peluru berpandu dan dron.
Minggu lalu, Arab Saudi mendakwa memintas sebuah dron yang menuju ke Mekah, namun Houthi menafikan menyasarkan kota suci umat Islam itu.
Beberapa hari kemudian, Houthi mengaku melancarkan serangan ke atas Riyadh, termasuk menggunakan peluru berpandu dan dron.
Ketegangan meningkat selepas pertempuran di Yaman kembali memuncak dan Houthi memperluas penguasaan di kawasan pesisir Laut Merah yang berhampiran laluan strategik Bab al-Mandab. – AFP