
SHAH ALAM, 24 September – Tahap pendidikan wanita yang semakin tinggi perlu disokong dengan ruang lebih luas untuk mereka menyumbang dalam kerjaya, keluarga dan pembangunan negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
- Penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan politik masih belum setara dan memerlukan perhatian segera.
- Reformasi sosial perlu bermula di rumah melalui perkongsian tanggungjawab keluarga untuk keseimbangan.
- Sistem sokongan lebih kukuh penting untuk membantu wanita mengimbangi kerjaya, keluarga dan tanggungjawab sosial.
- Langkah kerajaan seperti skim i-Suri KWSP dan rujukan dasar antarabangsa perlu disesuaikan mengikut konteks tempatan.
Katanya, penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan keterlibatan dalam politik masih belum setara dan perkara itu perlu diberi perhatian.
“Malaysia mempunyai wanita paling berpendidikan dalam sejarah negara, namun ruang untuk mereka menyumbang secara wajar masih belum tersedia sepenuhnya.
“Situasi ini menuntut reformasi sosial yang bermula daripada rumah, dengan pembentukan keluarga yang harmoni dan seimbang melalui amalan berkongsi tanggungjawab katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gender Outlook Forum 2026 di Dewan Utama Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.
Wan Azizah berkata sistem sokongan yang lebih kukuh penting bagi membantu wanita mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata langkah kerajaan memperkenalkan skim keselamatan sosial seperti i -Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara usaha mengiktiraf sumbangan golongan itu dalam menguruskan keluarga.
Beliau turut menyarankan supaya dasar berkaitan wanita dari negara lain seperti cuti bersalin dan kadar gaji dijadikan rujukan, namun disesuaikan dengan konteks tempatan supaya lebih berkesan dan praktikal.
Forum anjuran Kerajaan Negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan wanita dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi berkaitan serta sektor swasta.