
NAGOYA, 24 September – Skuad sepak takraw negara membawa misi besar menamatkan kemarau lebih tiga dekad tanpa emas acara regu berpasukan apabila turun menentang Thailand pada perlawanan akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, esok.
- Ketua jurulatih mahu pemain lebih berani menyerang dan kawal tempo permainan.
- Pendekatan terlalu bertahan beri ruang kepada lawan menguasai permainan.
- Aspek serangan akan ditingkatkan untuk capai momentum lebih baik.
- Semangat juang tinggi tunjukkan kebangkitan regu ketiga, menang 2-1 lawan Indonesia.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun mahu pemain tampil lebih berani ketika menyerang dan mengawal tempo permainan.
Menurutnya, pendekatan terlalu bertahan hanya akan memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.
“Aspek itu antara yang akan kita tingkatkan supaya pada perlawanan akhir esok, kita dapat momentum lebih baik,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih emas acara regu berpasukan adalah pada Sukan Asia Beijing 1990.
Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada final Piala Raja Thai di Bangkok, Ogos lalu, dengan Thailand muncul juara.
Malaysia bagaimanapun membalas kekalahan itu menerusi kemenangan pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.
Mengulas perlawanan separuh akhir menentang Indonesia, beliau berkata, semangat juang tinggi pemain antara faktor penting dalam kemenangan Malaysia, terutama menerusi regu ketiga yang bangkit selepas tewas set pertama.
“Walaupun kita sudah tewas set pertama dan ketinggalan pada set kedua, pemain menunjukkan kesungguhan serta keazaman tinggi.
“Pada set ketiga, situasinya masih 50-50 kerana kedua-dua pasukan mahu mencapai kemenangan,” katanya.
Pada aksi separuh akhir di Paloma Mizuho Arena hari ini, skuad negara melakar kejayaan dengan menundukkan Indonesia 2-1.