Carolan mahu Speedy Tigers kekal fokus selepas belasah Thailand 10-0

Facebook: Malaysian Hockey Confederation, Asian Hockey Federation (Foto kecil: Brendan Carolan)

GIFU, 24 September- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Brendan Carolan mengakui prestasi Speedy Tigers semakin meyakinkan selepas melakar kemenangan ketiga berturut-turut termasuk membelasah Thailand 10-0 dalam aksi Kumpulan B, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia terus menguasai Kumpulan B dengan sembilan mata, semakin hampir tiket separuh akhir.
  • Pemain diingatkan untuk kekal fokus dan perlu memenangi dua perlawanan terakhir bagi mengekalkan peluang mara.
  • Skuad mengumpul 24 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia terus menguasai Kumpulan B dengan sembilan mata dan semakin menghampiri tiket ke separuh akhir.

Carolan bagaimanapun mengingatkan anak buahnya supaya tidak terleka dengan kemenangan besar berkenaan, sebaliknya mengekalkan fokus menjelang dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Setiap perlawanan penting. Kami tahu perlu memenangi dua perlawanan seterusnya untuk memberi tekanan kepada pasukan lain. Kami tidak boleh mengulangi permulaan perlahan seperti hari ini, tetapi dengan dua hari untuk pemulihan, kami berharap pemain berada dalam keadaan terbaik menentang Pakistan,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 7-0 ke atas Uzbekistan dan Oman sebelum membelasah Thailand 10-0, sekali gus mengumpul 24 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan.

Pada aksi hari ini, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal mencuri tumpuan, apabila masing-masing meledak dua gol.

Enam gol lagi hadir daripada Muhajir Abdu Rauf, Aminudin Mohd Zain, Ashran Hamsani, Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook.

Speedy Tigers akan meneruskan cabaran menentang Pakistan pada Sabtu ini sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan China, Isnin depan.

Pakistan dan China kini masing-masing mengumpul enam mata, manakala Oman, Uzbekistan dan Thailand masih belum meraih mata.

Hanya dua pasukan teratas Kumpulan B akan mara ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.