Pentadbiran Trump dedah lapan cubaan bunuh diri anggota tentera AS

(Foto fail) Pesawat pejuang F/A-18E Super Hornet melakukan pendaratan di dek kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln/AFP

WASHINGTON, 24 September- Pentadbiran Presiden Donald Trump mendedahkan lapan cubaan bunuh diri melibatkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dalam kumpulan tempur kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln sepanjang penugasan berpanjangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Surat Pemangku Setiausaha Tentera Laut Hung Cao kepada Senator Kirsten Gillibrand menjawab pertanyaan mengenai keadaan kumpulan tempur.
  • Surat menyatakan tiada kematian akibat bunuh diri berlaku sepanjang penugasan kapal.
  • Satu anggota terjun ke laut awal Ogos diselamatkan helikopter; seorang lain cuba terjun Mac tetapi dihalang dan dibawa pulang.
  • Kapal meninggalkan California November 2025, dialihkan ke Asia Barat; keluarga dan ahli Kongres rungut masalah mental, makanan dan kebersihan.

Maklumat itu terkandung dalam surat Pemangku Setiausaha Tentera Laut AS, Hung Cao kepada Senator Demokrat Kirsten Gillibrand sebagai maklum balas terhadap pertanyaan mengenai keadaan anggota kumpulan tempur berkenaan.

“Sejak permulaan penugasan Lincoln, terdapat sejumlah lapan cubaan bunuh diri dalam kumpulan tempur itu,” menurut surat berkenaan yang dilihat AFP.

Bagaimanapun, surat itu menyatakan tiada kematian akibat bunuh diri berlaku sepanjang penugasan tersebut.

Menurut surat itu, seorang anggota yang ditugaskan bersama sayap udara kapal telah bertindak terjun ke laut dari kapal pada awal Ogos sebelum diselamatkan oleh helikopter mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian lain pada Mac, seorang anggota cuba terjun ke laut tetapi dihalang rakan setugas sebelum dibawa pulang ke pangkalan.

USS Abraham Lincoln meninggalkan California pada November 2025 untuk menjalankan tugas di Laut China Selatan sebelum dialihkan ke Asia Barat menjelang serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari 2026.

Kapal itu membuat persinggahan di Thailand pada awal September selepas 286 hari berada di laut ketika keluarga anggota tentera dan anggota Kongres membangkitkan kebimbangan mengenai cubaan bunuh diri, masalah kesihatan mental, kekurangan makanan dan kebersihan yang sebelum ini dinafikan Trump. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.