Iran tidak akan tunduk tekanan dan sekatan AS – Presiden Pezeshkian

Masoud Pezeshkian/ AFP

NEW YORK, 24 September- Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan dan sekatan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan AS semakin meningkatkan keteguhan rakyat Iran menentang sekatan.
  • Kami bersedia berunding tetapi tidak akan menerima pendekatan yang menggunakan kekerasan.
  • Iran menolak dakwaan sebagai pengganas dan menegaskan tidak pernah menjadi penceroboh.
  • Perketatan sekatan penerbangan AS membatalkan banyak penerbangan dan menggugat industri pelancongan.

Beliau berkata tekanan yang semakin meningkat itu hanya akan mengukuhkan pendirian rakyat Iran, ketika Washington memperketat sekatan terhadap industri penerbangan negara berkenaan.

“Donald Trump (Presiden AS) perlu tahu bahawa penentangan rakyat Iran hanya akan meningkat berdepan sekatan, tekanan dan tindakan membuli yang semakin meningkat.

“Kami tidak akan menundukkan kepala dan mereka yang melakukan pencerobohan akan menyesali tindakan mereka.

“Kami bersedia untuk berunding, tetapi mereka perlu tahu bahawa kami tidak akan menerima pendekatan menggunakan kekerasan,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Rabu.

Pezeshkian juga menegaskan negaranya menjadi mangsa keganasan, sekali gus menolak dakwaan Trump bahawa Iran adalah pengganas.

“Iran tidak pernah menjadi penceroboh, tidak pernah memulakan perang dan sentiasa menunjukkan komitmen terhadap meja rundingan.

“Mereka mengenakan perang terhadap kami, tetapi kami membuktikan bahawa kami tidak takut untuk berperang dan tidak akan menjauhkan diri daripada rundingan demi keamanan,” tegas beliau.

Kenyataan itu dibuat ketika AS memperketat sekatan terhadap industri penerbangan Iran dalam usaha meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran.

Beberapa penerbangan antarabangsa Iran dibatalkan, termasuk ke Baghdad, Muscat dan Qatar, manakala Georgia dan Azerbaijan mengesahkan penggantungan penerbangan dari Iran.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata lebih 80 hingga 90 peratus penerbangan luar Iran telah dihentikan susulan langkah berkenaan.

Bagaimanapun, penerbangan ke beberapa destinasi termasuk China, Istanbul, Najaf di Iraq dan Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih dijadualkan.

China sebelum ini menyatakan bantahan terhadap sekatan AS itu, manakala Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberi amaran tindakan balas terhadap negara yang membantu AS melaksanakannya.

Gangguan penerbangan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan agensi pelancongan di Najaf apabila pelanggan mula mempertimbangkan perjalanan melalui laluan darat. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.