Pemilihan Setiausaha Agung PBB: Peluang istimewa pembentukan kepimpinan wanita pertama

Datuk Nadzirah Osman/Foto BERNAMA

NEW YORK, 24 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bakal melalui peralihan kepimpinan apabila Setiausaha Agung Antonio Guterres menamatkan penggal kedua beliau pada 31 Disember nanti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh calon termasuk empat wanita membuka peluang PBB dipimpin wanita buat pertama kali dalam sejarah.
  • Setiausaha Agung baharu perlu menangani cabaran kewangan, keberkesanan PBB, isu kemanusiaan dan keseimbangan dalam Majlis Keselamatan.
  • Proses pemilihan melibatkan Majlis Keselamatan mengesyorkan calon kepada Perhimpunan Agung sambil memastikan suara negara membangun didengar.

Tujuh calon kini masih bersaing untuk jawatan Setiausaha Agung PBB yang baharu, termasuk empat wanita, sekali gus membuka kemungkinan badan dunia itu buat pertama kali dalam sejarah dipimpin oleh seorang wanita.

Sejak PBB ditubuhkan pada 1945, jawatan Setiausaha Agung yang kini memasuki penyandang kesembilan, semuanya disandang lelaki.

Perkara itu berpotensi berubah menerusi proses pemilihan yang sedang berlangsung, ketika gesaan supaya lebih banyak wanita diberi peluang memegang jawatan kepimpinan tertinggi di peringkat antarabangsa.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Nadzirah Osman berkata, perkembangan itu turut mencerminkan peningkatan sokongan terhadap kepimpinan wanita di PBB.

“Dengan wujudnya pelbagai inisiatif dan program berkaitan wanita yang dianjurkan sendiri oleh PBB, serta dengan populasi dunia yang hampir 50 peratus wanita, hanya sejak akhir-akhir ini panggilan dan galakan daripada negara lain, masyarakat sivil dan pelbagai pihak yang menyokong kepimpinan PBB diketuai oleh seorang wanita,” katanya.

Sementara itu, penganalisis perang saraf, keselamatan dan politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nirwandy Mat Noordin berkata, Setiausaha Agung yang baharu berdepan cabaran untuk memastikan PBB kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran global.

Jelas beliau, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk kedudukan kewangan dan keupayaan PBB untuk terus memainkan peranan sebagai organisasi utama dalam tadbir urus global serta hal ehwal kemanusiaan selain memupuk keseimbangan dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

“Peralihan kepimpinan itu berlangsung ketika PBB berdepan pelbagai cabaran, termasuk perpecahan dalam kalangan kuasa-kuasa besar, konflik antarabangsa, isu kemanusiaan serta tekanan terhadap kemampuan badan dunia itu untuk melaksanakan mandatnya secara berkesan,” menurutnya lagi.

Peranan Setiausaha Agung baharu juga dijangka penting dalam memastikan suara negara-negara membangun dan negara-negara Selatan Global terus diberi perhatian dalam agenda antarabangsa.

Proses pemilihan pengganti Guterres sedang berlangsung menerusi proses yang melibatkan Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB.

Majlis Keselamatan yang mempunyai 15 anggota akan mengesyorkan seorang calon kepada Perhimpunan Agung untuk dilantik ke jawatan tertinggi itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.