Zelensky dakwa Rusia guna khidmat dari 47 negara

Volodymyr Zelensky/ AFP

NEW YORK 24 September – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Rusia menggunakan khidmat dari 47 negara bagi meneruskan perang Moscow terhadap Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua anggota tentera Korea Utara yang dikerahkan menentang Ukraine ditawan dan dihantar ke Korea Selatan.
  • Ukraine menandatangani perjanjian dron dengan Finland, perjanjian keselamatan dengan Australia, dan merancang perjanjian dron dengan Kanada.
  • Zelensky memberi amaran kemungkinan mensasarkan kemudahan pemanasan dan tenaga Rusia bagi mengurangkan sumber pendapatan perang mereka.

Ketika menekankan hubungan pertahanan yang semakin erat antara Rusia dan Korea Utara, Zelensky turut berkata dua anggota tentera Korea Utara yang dikerahkan untuk berperang menentang Ukraine telah ditawan dan dihantar ke Korea Selatan.

“Putin sentiasa mencari pihak yang boleh membantunya membunuh lebih ramai orang, membunuh lebih ramai manusia bagi setiap kilometer tanah, merampas lebih banyak wilayah dan mengambil alih negara lain, bukannya sekadar berhenti dan mentadbir negaranya sendiri.

“Kita tahu Rusia menggunakan khidmat warga dari 47 negara dalam perangnya. Baru-baru ini, kami menghantar dua tawanan perang Korea Utara ke Republik Korea. Bukan mudah untuk menangkap mereka hidup-hidup,” katanya.

Zelensky berkata demikian ketika berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini sambil merujuk ucapannya kepada warga Ghana, Nepal dan India yang terlibat dalam konflik berkenaan.

Beliau turut mengetengahkan perjanjian teknologi dron yang dimeterai Kiev dengan sekutunya, susulan perkembangan Ukraine sebagai antara negara utama dalam bidang berkenaan.

“Kami sudah bekerjasama dengan rakan kongsi di Teluk, Caucasus Selatan dan seluruh Eropah melalui perjanjian dron. Hari ini, saya menandatangani perjanjian dron, satu perjanjian penting, dengan Finland.

“Pada hari ini juga, saya menandatangani perjanjian keselamatan dengan Australia dan dron turut menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Zelensky berkata Kiev turut dalam persiapan untuk memeterai perjanjian dron dengan Kanada.

Presiden Ukraine itu memberi amaran bahawa pasukannya mungkin menyasarkan kemudahan pemanasan dan tenaga Rusia pada musim sejuk ini.

Moscow didakwa menyasarkan infrastruktur pemanasan dan bahan api awam Ukraine sejak konflik bermula, termasuk menggunakan keadaan musim sejuk yang amat sejuk sebagai sebahagian daripada tekanan terhadap Ukraine.

“Rakyat Ukraine memahami bahawa musim sejuk ini mungkin sangat sukar bagi kami, tetapi sebagai tindak balas, kami tidak mempunyai pilihan selain memastikan Rusia turut merasai kesannya,” katanya.

Kenyataan tegas Zelensky terhadap Moscow itu dibuat beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mendedahkan Washington sedang menggesa Rusia dan Ukraine menghentikan serangan terhadap infrastruktur tenaga antara satu sama lain.

Zelensky turut menegaskan bahawa matlamat Ukraine bukan untuk memusnahkan bekalan petrol dan diesel Rusia, sebaliknya mengurangkan sumber pendapatan utama Moscow yang digunakan bagi membiayai jentera perang negara itu.

“Apabila seseorang memberi Rusia lebih banyak wang melalui perdagangan, mereka memberi perang ini lebih banyak masa. Itulah sebabnya kami menegaskan supaya perdagangan dengan pihak yang melakukan pencerobohan dihadkan dan mengapa kami sendiri berusaha mengurangkan pendapatan Rusia.

“Semakin lama Putin dapat meneruskan perang, semakin banyak kemusnahan yang akan ditinggalkannya di dunia ini,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.