Jabatan Penjara nafi dakwaan wujud hierarki dalam kalangan banduan

Mohamad Rosidek Musa (foto fail Bernama) menafikan dakwaan Yassin Sulaiman (foto kecil) menerusi ‘podcast’ baru-baru ini

KOTA BHARU, 21 September- Jabatan Penjara Malaysia hari ini menafikan dakwaan penyanyi dan komposer tanah air, Yasin Sulaiman berhubung kewujudan hierarki dalam kalangan banduan serta dakwaan kehidupan di penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Penjara mematuhi SOP, memberi keutamaan kepada keselamatan dan program pemulihan banduan.
  • Setiap salah laku ditangani mengikut peraturan, dengan penambahbaikan SOP dari semasa ke semasa.
  • Program Bookathon terima 10,000 naskhah buku untuk penjara, dilaksanakan bersama Boustead, Royal Chulan; SMO menawarkan diskaun 20%.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan pemulihan banduan.

“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba atasi perkara negatif yang berlaku di penjara.

“Kita akui mungkin ada perkara yang berlaku, tetapi ia tidak seperti didakwa. Ramai yang bebas daripada penjara berjaya membina kehidupan baharu, jadi kenapa kita mahu fokus kepada perkara negatif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Beliau berkata setiap salah laku di dalam penjara akan ditangani mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan, manakala SOP turut ditambah baik dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Yasin menerusi sebuah program audio siar (podcast) mendakwa wujud kelompok berpengaruh seperti ‘bos’ dan ‘taiko’ dalam penjara, selain mendakwa bekalan dadah boleh dibawa masuk dengan sokongan kewangan.

Sementara itu, Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 berkenaan menerima sumbangan 10,000 naskhah buku untuk kegunaan prospek di penjara seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Mohamad Rosidek berkata program yang dilancarkan Februari lepas itu dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royal Chulan dan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) bagi menggalakkan masyarakat menyumbangkan buku baharu atau terpakai untuk kegunaan prospek.

“Sumbangan itu merangkumi pelbagai bahan bacaan termasuk buku motivasi, fiksyen dan agama, manakala SMO turut menyediakan diskaun 20 peratus bagi pembelian buku yang disumbangkan menerusi kempen di 31 premisnya,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mohamed Ali.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.