Amaran taufan jejas bilangan pengunjung pembukaan Sukan Asia

Majlis pembukaan Sukan Asia di Nagoya/ AFP

NAGOYA, 20 September Amaran taufan menjadi antara faktor yang menjelaskan bilangan kehadiran penonton pada majlis pembukaan Sukan Asia di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis pembukaan berlangsung di stadium berkapasiti 30,000 dengan kehadiran Maharaja dan Maharani Jepun.
  • Pertunjukan bunga api menutup acara, namun beberapa bahagian tempat duduk kelihatan ketara kosong.
  • Ketua Pengarah OCA berkata satu bahagian dikosongkan untuk nyalaan api; lebih 70 peratus tiket dilaporkan terjual.
  • Stadium mengumumkan tiket habis, namun penganjur menyatakan sebaliknya; tiada hujan semasa majlis, hujan lebat kemudian melanda Tokyo.

Menurut penganjur, majlis gilang-gemilang yang berlangsung pada Sabtu di stadium berkapasiti 30,000 penonton itu secara rasmi membuka temasya sukan utama benua Asia, dengan kehadiran Maharaja dan Maharani Jepun.

Pertunjukan bunga api mengakhiri acara dengan meriah, namun sebahagian tempat duduk stadium dipenuhi penonton, manakala beberapa bahagian lain kelihatan ketara kosong.

Ketua Pengarah Majlis Olimpik Asia (OCA), Husain Al-Musallam berkata, satu bahagian tempat duduk terpaksa dikosongkan bagi memberi ruang kepada nyalaan api Sukan Asia.

“Ini salah satu faktornya. Namun mungkin anda masih ingat, terdapat amaran taufan yang menuju ke Nagoya dan pada saat akhir taufan itu berubah arah.

“Jadi, persoalan yang sama turut ditanya kepada saya, apa akan berlaku sekiranya taufan datang? Sudah tentu ia boleh menjejaskan keadaan,” katanya kepada pemberita sambil memaklumkan lebih 70 peratus tiket telah terjual.

Bagaimanapun, angka itu berbeza dengan pengumuman di Stadium Olahraga Taman Mizuho yang menyatakan tiket majlis pembukaan telah habis dijual.

Tiada hujan berlaku sepanjang majlis pembukaan itu, manakala ribut yang beberapa hari sebelumnya dilihat berpotensi mengancam kelancaran temasya lebih memberi kesan di kawasan Tokyo.

Hujan lebat melanda Tokyo pada Ahad, lokasi yang turut menjadi tuan rumah beberapa acara Sukan Asia, khususnya renang. Cuaca basah turut diramalkan melanda Nagoya pada Ahad dan Isnin.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.