Sukan Asia : Danish Aizad tamat saingan changquan lelaki di tempat ke-7

Muhammad Danish Aizad Firdaus Chua/ MSN

NAGOYA, 20 September – Atlet wushu lelaki negara Muhammad Danish Aizad Firdaus Chua terpaksa melupakan hasrat untuk menghadiahkan pingat pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menamatkan saingan changquan di tempat ketujuh daripada 21 peserta, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penampilan pertama di Sukan Asia; persembahan kemas mengutip 9.700 mata berdasarkan penilaian juri.
  • Emas dimenangi Chi Hin Kuong (Macau) 9.723; perak Song Chi Kuan (Macau) 9.720; gangsa Seraf Naro Siregar (Indonesia) 9.720.
  • Danish puas hati dengan persembahan tenang; latihan dua bulan di China membuahkan hasil; fokus kawal prestasi sendiri.

Pada aksi yang berlangsung di Aichi Prefectural Martial Arts Hall, atlet kelahiran Pulau Pinang itu yang membuat penampilan pertama pada pentas Sukan Asia tampil dengan persembahan kemas untuk mengumpul 9.700 mata menerusi penilaian juri.

Pingat emas menjadi milik wakil Macau Chi Hin Kuong selepas mengumpul 9.723 mata, manakala rakan senegaranya Song Chi Kuan meraih perak dengan 9.720 mata.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Indonesia Seraf Naro Siregar yang turut mengumpul 9.720 mata.

Danish Aizad berkata beliau berpuas hati dengan persembahannya, dan tidak terlalu memikirkan keputusan akhir memandangkan wushu ialah sukan yang penilaiannya bergantung kepada juri.

“Hari ini antara persembahan paling tenang saya. Sukan Asia memang pertandingan berintensiti tinggi, jadi saya tidak terlalu mengharapkan apa-apa. Saya cuma berharap tidak melakukan kesilapan dan dapat memberikan persembahan yang baik.

“Latihan dua bulan di China sebelum ini membuahkan hasil. Apa yang saya boleh kawal ialah persembahan saya sendiri, dan saya puas hati kerana dapat melakukan yang terbaik hari ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan di sini, hari ini.

Kem wushu negara meletakkan sasaran dua pingat pada temasya itu, yang membuka tirai secara rasmi semalam.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.