Siasatan nahas helikopter Long Lellang masih dijalankan, punca belum dikenal pasti

Foto BERNAMA

MIRI, 20 September – Siasatan keselamatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Ulu Baram, masih dijalankan dan punca serta faktor nahas tersebut belum dikenal pasti.

RINGKASAN BERITA AI
  • BSKU mengendalikan siasatan selaras Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan ICAO Annex 13.
  • Pasukan penyiasat berada di lokasi pada hari kedua atau ketiga untuk pemeriksaan dan pengumpulan bukti.
  • Siasatan merangkumi pemeriksaan bangkai pesawat, rekod operasi dan penyelenggaraan, maklumat kru serta keadaan cuaca.
  • Sokongan teknikal pengeluar pesawat (Jerman) dan enjin (AS); Laporan Awal dijangka dalam 30 hari dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, siasatan dikendalikan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 yang berpangkalan di Kanada.

“Pasukan penyiasat BSKU telah berada di lokasi kejadian pada hari kedua atau ketiga selepas nahas bagi menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bahan bukti.

“Siasatan meliputi pemeriksaan lokasi dan bangkai pesawat, rekod operasi serta penyelenggaraan, maklumat kru dan keadaan cuaca.

“Siasatan turut mendapati kerjasama dan sokongan teknikal daripada pengeluar pesawat di Jerman serta pengeluar enjin di Amerika Syarikat selaras dengan peruntukan ICAO Annex 13 ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di Long Lama, Baram, semalam.

Datuk Hasbi berkata, BSKU dijangka mengeluarkan Laporan Awal atau ‘Preliminary Report’ dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kemalangan, selaras dengan ICAO Annex 13.

Laporan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri susulan keputusan kabinet pada 9 September lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.