Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran rumah di Ipoh

Foto JBPM Perak

IPOH, 20 September – Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa maut ialah Raja Ahmad Raja Ali, 70; Zaiton Mohamed, 64; dan Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.
  • Seorang penghuni, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, terselamat kerana tidur di kawasan parkir ketika kebakaran.
  • Kebakaran menghanguskan kira-kira 70 peratus rumah; operasi 25 anggota dikawal pada 4.45 pagi dan ditamatkan pada 8 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata mangsa maut ialah Raja Ahmad Raja Ali, 70 tahun, Zaiton Mohamed, 64 tahun dan cucu mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18 tahun.

Seorang lagi penghuni, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47 tahun terselamat kerana tidur di kawasan parkir rumah ketika kejadian.

“Mayat Raja Ahmad ditemukan di bilik air di tingkat bawah.

“Manakala, dua lagi mangsa ditemukan masing-masing di bilik air dan bilik tidur berhampiran tingkap di tingkat atas,” katanya.

Datuk Sayani berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada empat pagi tadi.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 20 kaki x 70 kaki yang terbakar kira-kira 70 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 4.45 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 8 pagi,” katanya lagi.

Operasi melibatkan 25 anggota dengan bantuan beberapa jentera dan lori tangki air.

Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak forensik Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.