
JELEBU, 19 September – Pemilihan Taman Negeri Kenaboi sebagai antara lokasi cabaran Negeri Sembilan 7 Wonders Challenge bukan sekadar menawarkan cabaran fizikal kepada peserta, malah menjadi platform memperkenalkan khazanah alam semula jadi kawasan itu kepada pengunjung dari dalam dan luar Negeri Sembilan.
- Gabungan sukan dan pelancongan memperluas promosi destinasi alam semula jadi yang kurang diketengahkan.
- Program membudayakan sukan, mengurangkan stres, merapatkan masyarakat dan merancakkan industri pelancongan negeri.
- Inisiatif berterusan termasuk siri di daerah lain dan usaha tambah nilai ekopelancongan serta ekosukan.
Pendekatan menggabungkan sukan dan pelancongan itu dilihat mampu memperluas promosi destinasi berasaskan alam semula jadi, khususnya lokasi yang masih kurang diketengahkan kepada pelancong.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Nagoor, berkata program berkenaan turut membantu membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selain merancakkan industri pelancongan negeri.
“Ini adalah antara aktiviti kita untuk membudayakan sukan dalam kalangan rakyat. Dengan adanya kita bersukan, kita dapat hilangkan stres dan kita dapat rapatkan masyarakat kita di Negeri Sembilan dan yang pentingnya industri pelancongan akan terus mantap.
“Kita gabungkan dua elemen pelancongan dan sukan ini dan kita berikan yang terbaik untuk rakyat kita,” katanya demikian kepada media selepas merasmikan Program 7 Wonders 3.0 di Taman Rekreasi Kenaboi, disini.
Menurutnya, sambutan terhadap setiap siri 7 Wonders Challenge amat menggalakkan dengan penyertaan bukan sahaja daripada masyarakat Negeri Sembilan, malah peserta dari luar.
Dengan had penyertaan sekitar 1,500 peserta bagi setiap siri, program berkenaan secara tidak langsung memberi limpahan kepada sektor pelancongan setempat menerusi kehadiran peserta dan pengunjung ke daerah yang terlibat.
Tiga lagi siri dijadualkan berlangsung di Jempol, Seremban dan Tampin sehingga Disember ini, sebelum kesinambungan program menerusi 7 Wonders Challenge 4.0 dirancang tahun depan.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Razali Abu Samah, berkata sektor pelancongan Negeri Sembilan akan terus diperkasa menerusi promosi dan pemasaran produk ekopelancongan, termasuk destinasi yang masih kurang diketengahkan.
Beliau berkata pendekatan berkenaan turut merangkumi usaha menggabungkan elemen ekopelancongan dan ekosukan, selaras dengan potensi negeri yang memiliki pelbagai destinasi berasaskan alam semula jadi.
“Kita dekat sini berada di ekopelancongan yang mana hutan ini memainkan peranan penting bagi kesihatan.
“Ekoran daripada itu saya berhasrat untuk sama-sama dengan Pak Mus kita cadangkan dalam Exco nanti supaya kita nak tambah baik, tambah nilai ekopelancongan dan ekosukan,” katanya.
Inisiatif Negeri Sembilan 7 Wonders Challenge dilihat mampu terus memperkenalkan kepelbagaian destinasi negeri itu menerusi pendekatan sukan, rekreasi dan pelancongan secara serentak.