LTdl 2026 : Pasukan Modern Adventure Pro Cycling tampil beri cabaran

Foto Instgram Modern Adventure Pro Cycling

KUALA LUMPUR, 19 September – Pasukan ProTeam dari Amerika Syarikat, Modern Adventure Pro Cycling, tampil dengan barisan pelumba seimbang yang berpotensi mencabar pasukan lebih berpengalaman pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), meskipun baharu menyertai saingan profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditubuhkan pertengahan 2025, berpangkalan di Greenville dan Girona, dikendalikan Alex Howes, menyasarkan Tour de France menjelang 2032.
  • Menampilkan tiga pendaki (De Bod, Haug, Hayter) dan tiga pecut (Carpenter, McGill, Pickrell).
  • De Bod naib juara Peringkat Enam LTdL24; Haug dan Hayter tunjuk kecergasan serta pencapaian terkini.
  • LTdL26 bermula 27 September hingga 4 Oktober, jarak keseluruhan 1,285.5 km; disertai WorldTeam, ProTeam, pasukan Benua dan Malaysia.

Menurut Sekretariat LTdL26 dalam kenyataan hari ini, pasukan yang berpangkalan di Greenville, Carolina Selatan, Amerika Syarikat dan Girona, Sepanyol itu ditubuhkan secara rasmi pada pertengahan 2025.

Pasukan kendalian pengurus Alex Howes itu menyasarkan untuk mencapai pentas tertinggi perlumbaan berbasikal dunia, termasuk Tour de France, menjelang 2032.

Modern Adventure Pro Cycling mempertaruhkan tiga pelumba pendaki, Stefan De Bod, Kieran Haug dan Leo Hayter, selain tiga pakar pecut, Robin Carpenter, Scott McGill dan Riley Pickrell.

De Bod bukan nama asing buat peminat berbasikal tempatan apabila pernah menyertai pasukan TSG tahun lalu. Pelumba kelahiran Afrika Selatan itu turut menduduki tempat kedua Peringkat 6 Batu Pahat-Kulai pada LTdL24 ketika bersama EF Education-EasyPost.

Haug dari Brunswick, Amerika Syarikat pula pernah menjuarai Tour of Gila tahun lalu dan muncul naib juara edisi tahun ini, selain menduduki tempat keenam Kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Hayter dari Britain pernah menjuarai Giro d’Italia Giovanni Bawah 23 pada 2022 dan kini berada pada tahap kecergasan baik selepas menduduki tempat kelima keseluruhan serta tempat ketiga Peringkat 3 Tour of Poitou-Charentes En Nouvelle-Aquitaine, Perancis, bulan lalu.

Sementara itu Carpenter yang pernah bersama pasukan ProTeam Rally dan UnitedHealthCare, kembali menyerlah selepas mencatat kemenangan di Yarmouth Clam Bike Festival, Maine, Amerika Syarikat pada Julai lalu.

McGill pula pernah memenangi dua peringkat Volta a Portugal 2022 dan satu peringkat Tour of Gila 2024, manakala Pickrell, 25, dari Kanada pernah menjuarai dua peringkat Sibiu Cycling Tour pada 2024 dan 2025.

Pickrell turut menduduki tempat kedua Peringkat 4 Tour of Türkiye 2026 serta tempat ketiga Peringkat 1 Arctic Race Norway, Ogos lalu.

LTdL26 akan membuka tirai menerusi Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.

Jelajah berstatus 2.ProSeries itu disertai dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan Benua serta pasukan kebangsaan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.